- Iklan -
Dunia

Liz Cheney pertimbang rebut jawatan presiden AS

Beliau berikrar untuk menghalang Donald Trump daripada kembali ke pejabat presiden.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Kongres AS Liz Cheney berucap di Jackson, Wyoming. Gambar: AFP
Ahli Kongres AS Liz Cheney berucap di Jackson, Wyoming. Gambar: AFP

Ahli Kongres Wanita Amerika Syarikat (AS) Liz Cheney pada Rabu berkata beliau akan mempertimbangkan untuk merebut jawatan presiden AS, sehari selepas kekalahannya dalam pemilihan parti Republikan Wyoming.

"Itu adalah keputusan yang saya akan buat dalam tempoh beberapa bulan akan datang," lapor Xinhua memetik Cheney sebagai berkata dalam temu bual di rancangan "Today" NBC.

Beberapa media AS sebelum ini menjangkakan kekalahan Cheney ketika menentang Harriet Hageman, seorang peguam yang mendapat sokongan bekas presiden AS Donald Trump.

Dengan 99% undi selesai dikira pada Rabu, Hageman mendahului Cheney dengan undian 37%.

Cheney memberitahu penyokongnya pada malam Selasa bahawa beliau telah menghubungi Hageman dan menerima kekalahannya tetapi berikrar untuk "melakukan apa sahaja bagi menghalang Donald Trump kembali ke pejabat presiden".

Trump mengecam kenyataan Cheney itu.

Anak perempuan bekas naib presiden AS Dick Cheney, Liz Cheney telah mewakili Wyoming sejak 2017 dan telah muncul pengkritik lantang Trump.

Cheney, 56, adalah antara sebilangan kecil ahli Republikan yang mengundi untuk mendakwa Trump atas peranannya dalam rusuhan keganasan yang tercetus 6 Januari 2021 ke atas Capitol AS, dan telah kehilangan pangkatnya sebagai pengerusi persidangan Dewan Republikan kerana kritikannya terhadap Trump.