- Iklan -
Dunia

Jangkitan cacar monyet di AS cecah 10,000 kes

Kes yang disahkan di negara itu menyumbang hampir 30% daripada jumlah jangkitan global.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggu giliran vaksinasi cacar monyet di Brooklyn, New York pada 17 Julai. Gambar: AFP
Orang ramai menunggu giliran vaksinasi cacar monyet di Brooklyn, New York pada 17 Julai. Gambar: AFP

Kes cacar monyet yang disahkan di Amerika Syarikat melebihi angka 10,000, mencecah 10,392 kes pada Rabu, menurut data terbaharu yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), agensi kesihatan awam negara itu, lapor Xinhua.

Laporan CDC menunjukkan bahawa 1,391 kes cacar monyet yang disahkan dikesan pada Rabu. Ia kali pertama CDC melaporkan lebih 1,000 kes jangkitan harian untuk virus itu sejak yang pertama pada 17 Mei.

Kes yang disahkan di negara itu masih menyumbang hampir 30% daripada jumlah jangkitan global - 31,800 setakat ini, walaupun penduduk negara itu hanya di bawah 5% daripada populasi dunia.

Pentadbiran Biden Khamis lalu mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam, lebih seminggu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan global.

Pengkritik berkata pihak berkuasa AS bertindak terlalu perlahan dan tidak memenuhi permintaan untuk vaksin kerana bilangan kes terus meningkat.

Senator Negeri California Scott Wiener berkata kerajaan persekutuan sepatutnya boleh menyimpan stok vaksin Jynneos, vaksin cacar yang terbukti berkesan untuk cacar monyet.