- Iklan -
Dunia

Rekod lebih 500 kes, Itali mulakan kempen vaksinasi cacar monyet

Bagaimanapun, vaksinasi yang terhad itu hanya diberikan kepada golongan dewasa.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengunjung Piazza Duomo di Milan, Itali bersiar-siar di kawasan pelancongan itu dalam cuaca panas yang melanda Eropah ketika ini.
Pengunjung Piazza Duomo di Milan, Itali bersiar-siar di kawasan pelancongan itu dalam cuaca panas yang melanda Eropah ketika ini.

Itali pada Isnin mula melancarkan kempen vaksinasi terhadap cacar monyet bagi rakyatnya.

Hospital Spallanzani, hospital penyakit berjangkit utama di Rom, memaklumkan bahawa 10 orang telah divaksin pada Isnin dan dijangka lebih 200 orang akan menerima suntikan itu pada Isnin dan hari-hari seterusnya, lapor Xinhua.

Vaksin Jynneos dua dos, dicipta untuk memerangi cacar tetapi dipercayai turut berkesan terhadap cacar monyet, kerana virus cacar dan cacar monyet berkait rapat.

Vaksin hanya diberikan kepada golongan dewasa. 

Meskipun vaksin Jynneos bukan sesuatu yang baru, tiada bekalan simpanan yang banyak untuk vaksin itu di Itali.

Menurut laporan media, permintaan vaksin setakat Isnin telah melepasi 600 dan masih meningkat.

Kes cacar monyet pertama telah direkodkan di Rom pada Mei, dan sejak itu Itali mengenal pasti sekurang-kurangnya 545 kes sehingga Jumaat.

Cacar monyet ialah penyakit zoonosis (boleh berjangkit dari haiwan ke manusia), virus yang kerap timbul di hutan hujan tropika Afrika tengah dan barat, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Gejala termasuk demam, ruam, dan nodus limfa bengkak.

Pada Julai lalu, WHO secara rasmi mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global dan mengingatkan semua negara suapya meningkatkan langkah berjaga-jaga daripada wabak itu.