- Iklan -
Dunia

Biden tambah bantuan senjata AS$1 bilion kepada Ukraine

Setakat ini, AS telah membelanjakan hampir AS$10 bilion bagi membantu pertahanan Ukraine.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera Ukraine mempersiapkan pelancar M777 buatan Amerika Syarikat di Kharkiv pada 1 Ogos bagi membalas serangan Rusia. Gambar: AFP
Tentera Ukraine mempersiapkan pelancar M777 buatan Amerika Syarikat di Kharkiv pada 1 Ogos bagi membalas serangan Rusia. Gambar: AFP

Pentadbiran Presiden Joe Biden pada Isnin mengumumkan bahawa Amerika Syarikat akan menyediakan bantuan keselamatan tambahan bernilai AS$1 bilion kepada Ukraine, pakej senjata terbesar sejak konflik Russia-Ukraine tercetus.

Menurut kenyataan Jabatan Pertahanan, pakej itu - pembekalan kali ke-18 mengikut arahan presiden sejak Ogos 2021 - termasuk bekalan senjata tambahan untuk Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (Himars), 75,000 butir peluru artileri 155mm, 20 sistem mortar 120mm dan 20,000 butir peluru mortar 120mm, serta bekalan senjata untuk Sistem Peluru Berpandu Permukaan Ke Udara Termaju Kebangsaan (Nasams), lapor Xinhua.

Washington juga akan menghantar 1,000 Javelin, ratusan sistem anti-perisai AT4, 50 kenderaan rawatan perubatan berperisai, bahan letupan, peluru pemusnah dan peralatan pemusnah ke Kyiv, menurut kenyataan itu.

Bekalan senjata baru diumumkan itu menjadikan jumlah komitmen bantuan keselamatan AS kepada Ukraine bernilai AS$9.8 bilion sejak Biden memegang jawatan sebagai presiden, menurut Pentagon.