- Iklan -
Dunia

Bot terbalik di Bahamas bunuh 17 migran Haiti

Seorang bayi antara yang terbunuh dalam nahas tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Laut bergelora di perairan Bahamas menyebabkan bot laju yang membawa penumpang terbalik. Gambar: Pexels
Laut bergelora di perairan Bahamas menyebabkan bot laju yang membawa penumpang terbalik. Gambar: Pexels

Sekurang-kurangnya 17 migran warga Haiti termasuk seorang bayi maut selepas bot yang dinaiki terbalik di perairan Bahamas, kata perdana menteri negara itu pada Ahad.

“Pasukan penyelamat menjumpai 17 mayat iaitu 15 perempuan, seorang lelaki, dan seorang bayi,” kata Perdana Menteri Philip Davis dalam satu kenyataan di Twitter, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sementara itu, 25 orang lagi berjaya diselamatkan dan "ditempatkan dalam pemantauan pegawai kesihatan," manakala operasi mencari masih diteruskan.

Menurut siasatan awal, bot laju yang membawa 60 penumpang itu meninggalkan New Providence, Bahamas pada 1 pagi waktu tempatan menuju Florida, Amerika Syarikat (AS).

Bot berkenaan dipercayai "terbalik akibat laut bergelora."

"Siasatan melibatkan pelbagai agensi sedang dilaksanakan bagi menentukan kemungkinan aktiviti penyeludupan manusia sehingga mengakibatkan kematian migran Haiti," kata Davis.

Beliau juga "mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penyeludupan yang membahayakan nyawa manusia dan menjejaskan keselamatan negara."

Perdana Menteri Haiti Ariel Henry turut mengesahkan kejadian itu di Twitter.

Ketidakstabilan politik, kos makanan yang tinggi, dan peningkatan inflasi juga memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Haiti.

Negara itu turut bergelut dengan peningkatan aktiviti keganasan yang berterusan sejak pembunuhan bekas Presidennya Jovenel Moise pada 7 Julai tahun lalu.