- Iklan -
Dunia

IMF turunkan unjuran pertumbuhan global, risiko kemelesetan meningkat

IMF turut memberi amaran ekonomi AS akan berdepan kesukaran kerana pihak berkuasa cuba menentu ukur tindak balas terhadap inflasi yang berlaku ketika ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan suasana pagi jalan raya di Washington DC, Amerika Syarikat. Gambar: AFP
Pemandangan suasana pagi jalan raya di Washington DC, Amerika Syarikat. Gambar: AFP

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) merancang untuk menurunkan lagi unjuran pertumbuhan globalnya pada Julai, lapor Sputnik, memetik Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva pada Rabu.

"Penunjuk terkini membayangkan suku kedua yang lemah – dan kami akan mengunjurkan penurunan tahap selanjutnya untuk pertumbuhan global bagi 2022 dan 2023 dalam Kemas Kini Prospek Ekonomi Dunia hujung bulan ini," kata Georgieva dalam satu hantaran blog.

Beliau berkata walaupun inflasi kekal lebih tinggi daripada jangkaan, bank pusat utama perlu mengumumkan pengetatan monetari selanjutnya untuk menangani kenaikan harga.

Langkah sedemikian adalah perlu tetapi ia akan membebankan proses pemulihan ekonomi, kata Georgieva.

Beliau menambah bahawa keadaan ekonomi global akan terus sukar pada 2022 dan 2023 dengan risiko kemelesetan yang semakin meningkat.

Keseluruhan prospek adalah "amat tidak menentu," dan gangguan selanjutnya terhadap bekalan gas asli ke Eropah boleh menjerumuskan banyak ekonomi ke dalam kemelesetan dan mencetuskan krisis tenaga global, katanya. 

"Ini antara punca yang boleh memburukkan lagi keadaan yang sedia sukar," tambah Georgieva.

Sementara itu, IMF turut memberi amaran bahawa ekonomi AS bertambah sukar kerana pihak berkuasa cuba untuk menentu ukur tindak balas terhadap inflasi yang sedang berlaku dan mengelakkan kemelesetan.

"Usaha menghalang kemelesetan di Amerika Syarikat juga menjadi semakin mencabar manakala krisis Rusia-Ukraine, pandemik Covid-19 yang berlarutan dan kekangan sampingan bekalan mewujudkan cabaran tambahan,” menurut IMF. IMF mengeluarkan kenyataan selepas mengadakan rundingan Artikel IV dengan AS.

 IMF memuji daya tahan sistem kewangan AS dan usaha Rizab Persekutuan untuk mengekalkan kelancaran pasaran kewangan. 

"Dalam konteks ini, para pengarah menggalakkan pihak berkuasa untuk melaksanakan baki cadangan FSAP (Program Penilaian Sektor Kewangan) untuk mengukuhkan lagi sistem kewangan," menurut kenyataan itu.

IMF mengesyorkan agar kerajaan AS membatalkan sekatan perdagangan dan kenaikan tarif yang telah diperkenalkan sejak lima tahun lalu serta bekerjasama secara aktif dengan rakan dagangan untuk mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang berpusat di sekitar Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), tambah kenyataan itu.

Ia juga memberi amaran bahawa meskipun pemulihan cepat daripada wabak Covid-19 dan kesan rangsangan dasar yang agak positif, ekonomi AS terus menghadapi cabaran inflasi yang ketara berpunca daripada kenaikan harga tenaga dan gangguan bekalan global yang berterusan.