- Iklan -
Luar Sana

Tuntutan palsu insurans lebih 500 juta baht dibuat sejak pandemik Covid-19

Tuntutan palsu dibuat di bawah skim 'Jer Jai Jop' bermaksud 'dibayar apabila dijangkiti'.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bakal haji dari Thailand yang akan berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, Songkhla, Thailand pada 13 Jun, 2022. Gambar: Bernama
Bakal haji dari Thailand yang akan berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, Songkhla, Thailand pada 13 Jun, 2022. Gambar: Bernama

Tuntutan palsu insurans melebihi 500 juta baht (100 Baht = RM12.33) kerana Covid-19 dibuat sejak wabak itu melanda Thailand pada 2020, menurut Persatuan Insurans Am Thai.

Pengerusinya Anon Vangvasu berkata kebanyakan tuntutan palsu dibuat di bawah skim "Jer Jai Jop" bermaksud "dibayar apabila dijangkiti", iaitu pesakit Covid-19 akan menerima bayaran pada kadar segera selepas dijangkiti.

“Memandangkan wabak Covid-19 memuncak tahun lepas, jumlah tuntutan dan dokumen yang banyak menyebabkan penelitian dilakukan secara sepintas lalu susulan syarikat insurans perlu membayar pelanggan mereka pada kadar segera.

“Bagaimanapun, apabila syarikat insurans menyemak semula dokumen berkaitan dengan pihak berkuasa, mereka dapati kebanyakannya mengemukakan dokumen serta tuntutan palsu.

“Mereka yang mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan insurans Covid-19 bakal berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda 300,000 baht atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tuntutan insurans Covid-19 yang melambung tinggi telah menyebabkan ketidaktentuan dalam kalangan syarikat insurans termasuk Syn Mun Kong Insurance (SMK) yang kemudiannya memfailkan petisyen perlindungan dengan Mahkamah Kebankrapan Pusat Mei selepas mengalami kerugian besar akibat tuntutan itu.

Mahkamah menerima petisyen itu daripada SMK pada 18 Mei lepas.

SMK sudah mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan pihaknya berhutang 41 bilion baht berkaitan pembayaran polisi insurans Covid-19.

Setakat ini, syarikat itu menjelaskan bayaran sebanyak 11.875 bilion baht menggunakan keuntungannya, tetapi masih berhutang kira-kira 30 bilion baht kepada 350,000 pemegang polisi yang lain.