Rancangan Trump di Gaza: Malaysia perlu bersuara
Cadangan presiden AS itu perlu ditolak secara rasmi dan kerajaan perlu mempertegaskan sokongan Malaysia terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Terkini
Kerajaan Malaysia perlu menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa Semenanjung Gaza bukan dan tidak akan menjadi hak milik mana-mana kuasa asing, termasuk Amerika Syarikat.
Cadangan Presiden Donald Trump untuk mengambil alih Gaza selepas dua juta rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain adalah satu bentuk penjajahan imperialisme yang jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Malaysia secara konsisten telah menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk merdeka dan menubuhkan sebuah negara yang berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Kita tidak boleh berdiam diri apabila ada usaha dari sebuah kuasa besar untuk menghapuskan Gaza secara paksa dan menggantikan penduduknya dengan alasan pembangunan semula.
Wisma Putra mesti segera menolak cadangan ini secara rasmi dan mempertegaskan sokongan Malaysia terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Malaysia juga perlu memainkan peranan aktif dalam mendesak komuniti antarabangsa, terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menentang sebarang usaha penjajahan dan pembersihan etnik rakyat Palestin.
Keamanan di Gaza hanya boleh dicapai apabila hak semua rakyat Palestin dihormati.
Na’im Brundage merupakan anggota Exco Armada Bersatu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.