- Iklan -
Kolum

Teater Teresa Kok

Yang tersurat dua butir peluru. Yang tersirat ialah 'ekstremis Islam', dengan kata lain PAS.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Saya telah menulis tentang Teater Hajarul Aswad. BlackRock. 

Kali ini saya nak menulis tentang Teater YB Teresa Kok yang masih hangat dalam media.

Sebelum saya berlabun panjang, adalah baik saya selongkar kembali Teater 9/11 World Trade Center New York. Teater 9/11 ini bertaraf global.

Saya selongkar untuk kita memahami kenapa dan mengapa teater dipentaskan. Juga untuk memahami tujuan teater dipentaskan.

Mengikut Wikipedia, serangan 11 September atau 9/11, ialah empat serangan "pengganas Islam" berani mati yang dilancarkan al-Qaeda terhadap Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Pada pagi itu, 19 orang pengganas ini merampas empat kapal terbang komersial yang dijadualkan terbang dari ke California. Dua pesawat yang dibajak telah melanggar menara berkembar WTC di New York.

Menara ikon ini hancur musnah, lebih 3,000 nyawa melayang.

Secara rasmi Rumah Putih menuduh serangan ini dilakukan oleh Al-Qaeda dan Osama Bin Laden.

Hari ini 70% warga Amerika percaya ledakan pada pagi 11 September 2001 adalah kerja orang dalam.

Teater 9/11 ini ditaja oleh CIA, FBI dan Mossad. Tujuan teater ini dipentaskan ialah mengolah persetujuan untuk menyerang Iraq. Ketika itu, Iraq di bawah Saddam Hussein, satu-satunya negara Arab yang ada kekuatan melawan Israel.

Saddam pemimpin nasionalis Arab dianggap bahaya untuk Zionis Israel. Maka Iraq dan Saddam wajib dimusnah. Ini tujuan pementasan teater 9/11.

Ada tujuan sekunder: Penerbit Teater 9/11 ialah daulah terpendam – deep state – yang ingin memastikan industri perang terus berjalan.

Sesudah Teater 9/11 dipentaskan, warga Amerika bersetuju untuk mengurangkan kebebasan mereka demi keselamatan negara. 

Justeru Akta Patriot diluluskan. Telefon peribadi boleh diintip, surat dan emel boleh diintip tanpa arahan mahkamah.

Akta Patriot mempunyai matlamat mengetatkan keselamatan Amerika terutamanya yang berkaitan dengan keganasan asing.

Dalam Teater 9/11 ada bangunan runtuh. Ada warga mati. Satu dunia heboh. 

Ada apa dengan Teater Teresa Kok? Tiada sapa mati.

Sabar dulu.

Hari, masa dan detik teater dipentaskan juga wajib tepat. Ini untuk tujuan menjual dan memasarkan teater seluas mungkin.

Ingat kembali apa kejadian sebelum berita Teresa Kok heboh di media?

Ada berita dari Ulu Tiram. Heboh. Balai Polis Ulu Tiram diserang oleh seorang jantan. Si jantan ni datang dengan parang merampas pistol abang polis dan menembak mati polis. Si jantan juga ditembak mati.

Ketua polis negara membuat sidang akhbar, dan diumumkan si jantan ialah anggota Jemaah Islamiyah (JI)

JI ialah sebuah kumpulan ekstremis Islam yang bersenjata. Kumpulan ini mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf dan al-Qaeda. 

Bila sebut al-Qaeda, muka Osama muncul. Bila muka Osama muncul, maka Teater 9/11 muncul bersama.

Negara jadi gempar dan resah. Apakah ekstremis Islam muncul kembali. Ingatan kembali kepada Al-Maunah. Ingatan kembali kepada KMM - Kumpulan Mujahidin Malaysia.

Ekstremis Islam ini dikaitkan dengan PAS. Mata mula memandang juling kepada PAS. Ada anggota PAS dari sejarahnya terlibat dalam Al-Maunah dan KMM.

Apa yang menjadikan Ulu Tiram sebahagian skrip teater ialah keesokan hari, ketua polis umum si jantan ni bukan anggota JI.

Awal diumum JI, kemudian dinafi JI. Pelik lagi di luar tabii.

Tapi bahaya ekstremis Islam telah terpahat dan tersebar luas. Malah Singapura juga sama gempar. Ulu Tiram menjadi berita dunia.

Media dan warga Internet mula heboh membincang tentang ekstremis Islam.

Kes polis dibunuh di Ulu Tiram belum reda, tiba-tiba Malaysia jadi gempar sekali lagi. 

Kali ini dengan berita Teresa Kok menerima surat ancaman bersama dua butir peluru.

Isi surat itu berbaur perkauman lucah di samping ugutan seperti "Lu akan mati, lu tunggu!".

Apakah ini teater?

Apa yang menjadikan ini teater ialah cara Teresa mengurus berita ini. Teresa memanggil polis. Semua dirakam. Kemudian gambar-gambar rakaman ini disebar dalam media sosial bersama surat dari Teresa.

Teresa mahu semua rakyat Malaysia menonton lakonan dirinya.

Yang tersurat dua butir peluru. Yang tersirat ialah ekstremis Islam.

Simpati mula sampai. Di sana sini kutukan kedengaran membidas ekstremis Islam. Bila ekstremis Islam disebut, maka yang tergambar ialah PAS.

Justeru orang kuat PAS, Takiyuddin Hassan muncul memberi simpati kepada Teresa. Taki mengutuk ekstremis dan menyatakan PAS menolak garis ekstremis Islam.

Apa yang menjadikan ini teater ialah kekarutan ancaman ini. Bila kita baca secara teliti apa yang berlaku jelas babak Teresa Kok tidak masuk akal.

Jika hendak bunuh Teresa, mengapa perlu hantar surat? Mengapa bazirkan dua butir peluru?

Rumah dan alamat diketahui, kalau hendak bunuh apa perlu beri amaran? 

Beri amaran tujuan untuk buat heboh. Dalam kes Teresa, hebohkan ekstremis Islam nak bunuh "kapir Cina".

Justeru babak ini menjadi komedi. Malah ianya sah diteaterkan apabila Teresa mengedarkan dalam media sosial gambar dia sedang berdepan pegawai penyiasat.

Kali ini muka tidak pula dikaburkan. Ini menjemput MCA memberi komen sinis tentang bahasa Melayu Teresa.

Apa tujuan Teater Teresa Kok dipentaskan?

Tujuan induk untuk beritahu rakyat Malaysia tentang bahaya ekstremis Islam. Yang tersurat bahaya ekstremis Islam. Yang tersirat bahaya PAS. Apakah ini saja tujuan teater ini?

Sabar dulu. 

Tiga jantan Yahudi dihantar pulang

Ingat kembali kes jantan Yahudi dengan enam pucuk pistol dan 200 butir peluru. Ada apa dengan kes ini?

Ketika kita heboh dengan Ulu Tiram dan Teresa, ada berita kecil: Tiga lelaki asing dihantar pulang... jeng jeng jeng.

Pulang ke mana? Ke negara mana? Siapa tiga lelaki ini?

Saya pun tidak tahu. Apa yang saya dengar ianya bersangkutan dengan jantan Yahudi. Apakah mereka terlibat sama dalam kes pistol dan peluru? Apakah mereka saksi kepada jantan Yahudi?

Semua tenggelam. Berita tiga jantan ini tidak jadi heboh. Kenapa? Kerana kita heboh dengan Teater Teresa Kok.

Tapi inilah cara teater dipentas untuk mengolah persetujuan. Ada projek yang lebih besar di belakang semua ini.

Teresa hanya berlakon. Dia sendiri tidak sedar malah dia tidak tahu ini semua projek teater untuk mengolah persetujuan. Ada Tok Dalang di belakang lakonan ini.

Awas dan waspada – pementasan teater juga wajib dipastikan dalam detik dan masa yang tepat.

Teater Teresa Kok berjaya menenggelamkan berita tiga jantan. Kita tidak tahu jantan ini siapa. Jantan ini dari mana? Justeru Teater Terasa Kok berjaya tembak mati dua burung dengan satu peluru.

Ini bukan bermakna Teresa sedar bahawa dia sedang diarah untuk berlakon. Teresa tidak sedar. Saya yakin. Apa yang ditulis dan yang digambarkan bukan dongeng. Teresa jujur dalam kisahnya. 

Jika berlakon, siapa pengarahnya? Siapa Tok Dalang?

Ingat kembali kepada babak kepala babi dalam masjid di Jalan Klang Lama. Ingat kembali kes simbah cat dalam masjid? Sampai hari ini tidak ada tangkapan. Ini berlaku di zaman Najib Razak.

Pengarah dan penerbit teater "Babi Dalam Masjid" ini pastilah deep state. Siapa?

Daulah terpendam ialah kumpulan elit politik dan ekonomi yang mahu memastikan kepentingan kaum pemodal tidak diganggu gugat. Dalam masa yang sama kepentingan mereka juga tidak terhapus. Kepentingan bersama diteruskan.

Akhirnya apa tujuan Teater Teresa Kok ini dipentaskan? Tujuan utama untuk mengolah persetujuan. Bukan udang di sebalik batu tapi ada ikan kaloi.

Persetujuan sedang diolah untuk menyediakan persetujuan orang ramai tidak membincangkan agenda 3R - raja, agama dan kaum.

Ini kerana tiga perkara ini adalah bom nuklear yang dimiliki PAS.

Kekuatan PAS bergantung pada agama dan bangsa. Bom nuklear PAS masih boleh meledak.

PAS memiliki empat jenis bom nuklear. 

Pertama, bom sekular. Kedua, bom liberal. Ketiga, bom plural dan keempat, bom LGBT. 

Pakatan Harapan dan PKR tidak ada Iron Dome – tembok besi untuk menangkis senjata nuklear PAS ini.

Justeru, hanya satu jawapan: wujudkan undang-undang atau akta untuk melarang 3R dibincangkan.

Saya yakin ketika saya menggarap tulisan, ini para menteri dan YB dalam kerajaan sedang berfikir untuk mewujudkan Akta 3R.

Malah saya merasa ketika ini. draf Akta 3R sedang dilakar. Justeru teater untuk mengolah persetujuan sedang dipentaskan.

Jangan terperanjat Akta R ini mungkin lebih ganas dari ISA atau Akta Hasutan. Ini memandangkan kerajaan PH hari ini lebih terdesak dari zaman Mahathir Mahazalim dan zaman 1MDB Najib.

Sila perhatikan akan ada banyak berita keganasan, berita ekstremis Islam, yang akan muncul selari dengan berita PAS dan PN makin popular.

Berita ekstremis akan melonjak naik selari dengan berita Anwar Ibrahim main wayang dan imej sosok bernama Anwar makin merosot.

Teliti media sosial kerana ini tanda Akta 3R akan sampai.