- Iklan -
Editorial

MalaysiaNow, selagi hidup, selagi melawan

Masih terlalu banyak yang perlu dilapor, didedah dan dibongkar.

Abdar Rahman Koya
3 minit bacaan
Kongsi

Soalan: Apakah Malaysianow masih wujud?

Ini jawapan yang ringkas: Ya, kami masih di sini.

Walaubagaimanapun, kami tidak mampu lagi membayar pasukan kecil yang gigih ini, yang sejak 3 tahun kewujudan Malaysianow, telah berjaya menjadikannya salah sebuah portal paling berani, menyelami tajuk berita dan mendedahkan realiti politik, dan pada masa sama tidak berselindung tanpa nama.

Pada September 2020, portal nyamuk ini dilancarkan tanpa majlis besar-besaran, mengambil risiko besar dengan hanya 4-5 orang pekerja yang tiada apa-apa jaminan masa depan pekerjaan. 

Ia seterusnya berkembang menjadi sebuah portal yang digeruni kerana pendedahannya terhadap politikus-politikus yang ramai anggap suci malah diangkat sebagai penyelamat negara.

Selepas tiga tahun dan satu pilihan raya umum, laporan-laporan kami terbukti benar apabila negara dipertontonkan hipokrisi politik paling dahsyat sejak kemerdekaan.

Carian rambang 40,283 berita dan rencana yang diterbitkan kami akan menyerlahkan beberapa isu utama dan kontroversi yang pertama sekali dilaporkan oleh kami. 

MalaysiaNow adalah media pertama yang mendedahhkan percubaan kerajaan sebelum ini untuk menghadiahkan hartanah bernilai RM100 juta kepada Najib Razak. Ia bermakna bekas perdana menteri yang kini dipenjarakan itu tidak berpeluang merasakan mahligai ihsan pembayar cukai, selain kerajaan juga berjaya menyelamatkan wang sejumlah itu.

Berita mengenai hadiah RM100 juta ini hanyalah salah satu dari pelbagai pendedahan dari portal yang kecil ini.

Para pembaca kami yang mencecah lebih sejuta setiap bulan sudah tentu masih ingat pendedahan mengenai pakatan rahsia Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi, dan bagaimana mereka mengheret Najib dalam usaha menjatuhkan kerajaan Muhyiddin Yassin ketika kemuncak Covid 19, suatu waktu di mana kerajaan seluruh dunia amat memerlukan kestabilan politik dalam menangani pandemik itu.

Kami juga media pertama mendedahkan perbualan telefon yang menyaksikan kedua-dua Anwar dan Zahid bergurau sambil saling mengucap tahniah selepas Perhimpunan Agung Umno pada 2021.

Dan bukan sekali kami melaporkan bagaimana pihak Pakatan Harapan dan Umno akan mengenepikan perbezaan atas alasan “kebaikan lebih besar” demi mengecapi kuasa – senario yang sehingga kini masih menghantui semua di sebalik pusara pelbagai janji reformasi.

Seminggu sebelum kami terpaksa mengumumkan berita sedih kepada staf kami yang komited, MalaysiaNow mendedahkan rancangan yang tidak diketahui ramai untuk mengenakan caj terhadap peniaga yang menggunakan Duitnow QR, perkhidmatan disediakan sebuah syarikat dikuasai Bank Negara Malaysia yang mendapat habuan besar melalui setiap aktiviti perbankan harian oleh rakyat biasa.

Juga tersenarai di antara liputan ialah golongan tertindas yang diabaikan, samada orang miskin, tiada kerakyatan, mahupun golongan migran dan banduan – kisah mereka diceritakan melalui filem pendek dan galeri gambar yang dilihat jutaan pembaca.

Dengan sumber yang begitu terhad, liputan kami, misalnya dalam mengetengahkan nasib golongan dinafikan kewarganegaraan, telah meletakkan sebuah piawai baru apabila kami mendalami kisah kesulitan mereka menjalani kehidupan di satu-satunya negara yang dianggap tanah tumpah darah mereka.

Begitu juga, kami membongkar salah laku pihak korporat dan tidak gentar walau diugut dengan tindakan undang-undang, kerana, tidak seperti media besar yang lain, kami tidak bergantung kepada iklan yang menjaja tiket-tiket murah dan “super apps” kepada rakyat kebanyakan.

Lebih 170 galeri gambar hasil usaha jurufoto kami yang berbakat, dan ribuan klip video termasuk 140 dokumentari pendek yang menceritakan kisah Malaysia, menjadi saksi kepada mutu kewartawanan kami.

Semua ini dilakukan walaupun berdepan cabaran kewangan dan sejak kebelakangan ini, ugutan terbuka terhadap media bebas seperti kami.

Hakikatnya, gangguan pihak berkuasa yang mengeluarkan arahan menyunting dan menapis kandungan di samping mengubah tajuk berita seperti inilah yang membuatkan kami berfikir sama ada berbaloi meneruskan operasi dalam keadaan sentiasa diancam sekatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang hanya bulan lepas telah mengugut kami kerana melaporkan fakta.

Kini, sejak MalaysiaNow berhenti kemaskini seperti biasa, kami dibanjiri dengan respon serta kata-kata semangat oleh mereka yang terkejut dengan tindakan kami menutup operasi, yang hanya menguatkan iltizam kami untuk meneruskan perjuangan ini.

Patutkah kami berhenti ketika pelbagai peristiwa besar sedang berlaku di dalam dan luar negara, tetapi malangnya liputan kebanyakan media adalah mengecewakan iaitu cukup sekadar mengulang-ulang kandungan sama demi kelangsungan hidup.

Masih terlalu banyak yang perlu dilapor, didedah dan dibongkar.

Inilah keputusan kami buat masa ini, walaupun kami tidak dapat beroperasi dalam kapasiti penuh.

Ini janji kami: liputan kami mungkin ringkas, tetapi ia akan mempunyai kesan besar terhadap mereka yang dibutakan dengan kuasa. Dan, seperti biasa, laporan kami akan terbukti benar. 

Nantikan ruang ini.

Abdar Rahman Koya merupakan ketua pegawai eksekutif dan pengarang MalaysiaNow.

* Berdasarkan statistik Google Analytics and Similarweb sehingga September 10, 2023.