- Iklan -
Kolum

PRN 6 negeri, kesedaran Melayu dan pembelotan Umno

Sejarah pembelotan Umno berulang, dahulu bersama Inggeris.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Wujudiah Melayu di Tanah Melayu ini amat penting. 

Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini memperlihatkan kekuatan dan kesedaran Melayu.  

Di sini dibongkar surah dan sejarahnya.

Pada 20 Jun 1948, kuasa kolonial Inggeris mengisytiharkan darurat ke atas Tanah Melayu.  

Ini disebabkan laungan Merdeka yang di mulakan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti orang Melayu pertama di tanah ini. 

Laungan ini disambut juga oleh kaum dan bangsa pendatang yang lain.

Kekuatan laungan merdeka PKMM ini menggoncang kekuatan penjajah Inggeris.

Bila darurat diisytiharkan, ada kumpulan nasionalis Melayu mengundur ke hutan. 

Di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM), perjuangan bersenjata dilancarkan untuk menghalau Inggeris dari Tanah Melayu.

Gerakan gerila menjadi senjata politik utama yang diterajui oleh PKM untuk melawan Inggeris.

Pada ketika perang pembebasan ini, Melayu menjadi amat penting.  

Inggeris menganggap satu sosok gerila Melayu sama nisbahnya dengan lapan sosok gerila bukan Melayu. 

Gerila Melayu dianggap lebih merbahaya daripada gerila Cina atau India.

Terbukti dari zaman kuasa kolonial lagi disedari betapa pentingnya Melayu. 

Niat jahat kolonial Inggeris

Ini kerana bumi yang di jajah Inggeris ini, nama asalnya ialah Tanah Melayu atau Land of the Malays.

Nama ini dengan cara licik dan jahat ditukar oleh Inggeris kepada Malaya.

Nama Malaya tidak memiliki apa-apa makna. 

Nama Malaya ini adalah taktik Inggeris untuk melupuskan nama dan identiti Melayu dan Tanah Melayu.

Melupuskan nama Tanah Melayu menjadi Malaya ini juga adalah strategi Inggeris untuk menghalalkan tindakan mereka membawa masuk pendatang asing dari India dan China.

Tanah ini bukan lagi tanah milik Melayu. Bukan lagi “land of the Malays”.

Jelas nama Tanah Melayu wajib dilupuskan lebih awal untuk memudahkan meluruh masuk pendatang asing dari China dan India.

Dari nama asal Tanah Melayu atau Land of the Malays menjadi Malaya yang tidak membawa apa-apa makna dalam bahasa Melayu.  

Ingatan kolektif orang Melayu tentang Tanah Melayu secara licik dipadam.

Pada tahun 1963, projek jahat Inggeris yang berjaya memadamkan  nama Tanah Melayu ini disambung sekali lagi oleh parti United Malays National Organisation (Umno) dengan memperkenalkan nama Malaysia.

Jika nama Malaya, untuk membawa pendatang dari China dan India masuk manakala nama Malaysia untuk membawa Sabah dan Sarawak masuk.

Ini bukti sejarah bagaimana melupuskan nama Melayu pada Tanah Melayu itu penting.

Sama seperti Malaya, perkataan Malaysia ini juga tidak memberi apa-apa makna dalam Bahasa Melayu.

Apa sangkut paut darurat, pendatang asing, nama Tanah Melayu dengan suasana dan wacana  politik negara hari ini?

Kaitan PRN di enam negeri

Apa kaitan semua ini dengan kita yang  baru sahaja selesai mengadakan PRN di enam buah negeri.

Dalam tulisan ini saya cuba memberi pencerahan tentang kesinambungan sejarah dahulu dengan apa yang berlaku sekarang. 

Tulisan ini juga untuk memperlihatkan apa itu Melayu dalam budaya politik hari ini.

PRN di enam negeri 2023 baru sahaja selesai. 

Untuk saya ianya memperlihatkan bagaimana sejarah nasionalisme Melayu berulang kembali.

PRN kali ini bukan dengan laungan Merdeka ala PKMM. 

Bukan perjuangan gerila melawan Inggeris.  

Tetapi laungan identiti Melayu, keabsahan bahawa bumi yang dipijak oleh anak semua bangsa dan bangsa semua agama adalah Tanah Melayu.

Cerita Melayu kali ini ialah cerita kesedaran Melayu.

Pada tahun 40-an dan 50-an, di zaman penjajah anak Melayu yang terdidik dan berilmu tidak ramai. 

Rata-rata mereka mencari makan dengan Inggeris atau terus menjadi barua Inggeris.

Dengan kuasa darurat, beratus-ratus anak Melayu yang berani melawan Inggeris ditangkap seperti Ishak Haji Muhammad atau Ahmad Boestamam. 

Atau lari menghilangkan diri seperti Mokhtaruddin Lasso atau Ibrahim Yaacob. 

Ada yang sempat bergerila ke hutan seperti Abdullah Sidi, Shamsiah Fakeh atau Rashid Maidin.  

Apa kena mengena Darurat 1948 dan PRN 2023? 

Sejarah berulang

Bila saya katakan sejarah berulang kembali bermakna agenda nasionalis Melayu anti kolonial masih belum tuntas, belum sampai ke hujung. 

Niat dan inspirasi nasionalis Melayu dikhianati oleh Umno.

Perjuangan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut yang di sambung oleh Pak Sako, Rashid Maidin dan Abdullah Sidi dikhianati dan dimandulkan. 

PRN baru baru ini memperlihatkan suasana dan agenda kesedaran semangat nasionalisme Melayu sedang disambung kembali dengan ampuh.

Inggeris berjaya mematahkan perjuangan para nasionalis Melayu dengan mendirikan parti Umno sebagai pembelot dan pengkhianat Melayu.

Dalam PRN 2023 peranan pembelotan masih lagi dimainkan oleh Umno.

Parti yang “claim” sebagai Parti Ketuanan Melayu menjadi budak suruhan Inggeris yang setia untuk menumpaskan para nasionalis  Melayu. 

Dalam PRN 2023 semakin jelas Umno memainkan peranan yang sama. 

Belot dan khianat untuk mematahkan agenda Melayu.

Keputusan PRN membuktikan bahawa Melayu merasa tidak puas dengan apa yang sedang berlaku sekarang. 

Melayu merasa resah dan gelisah. Melayu merasa kuasa politik mereka akan terhakis.

Kajian terperinci, secara berdata ilmiah atau secara rambang dilihat jelas bahawa Melayu hilang keyakinan terhadap Pakatan Harapan (PH). 

Satu ketika dahulu, gabungan garis reformasi PH ini diyakini Melayu. 

Kini Melayu agak kurang yakin tidak percaya kepada gabungan ini.

Ini akibat daripada PH bersekongkol dengan parti pengkhianat perjuangan nasionalis Melayu. 

Mengapa Melayu tolak PH?

PH terpalit dengan jenayah pembelotan.

Ramai pemerhati dan penganalisis politik hairan dan bertanya mengapa Melayu merasa terancam dalam negara sendiri?

Mengapa Melayu merasa kehilangan kuasa politik walhal perdana menteri Melayu, menteri ekonomi Melayu, menteri besar semua Melayu, ketua hakim negara Melayu, ketua polis negara Melayu, ada Askar Melayu, malah di belakang semua ini ada Raja-raja Melayu.

Penyokong mengibarkan bendera Perikatan Nasional semasa ceramah Grand Finale Selangor Bangkit Gemilang di Taman Melawati, Hulu Kelang, 11 Ogos.
Penyokong mengibarkan bendera Perikatan Nasional semasa ceramah Grand Finale Selangor Bangkit Gemilang di Taman Melawati, Hulu Kelang, 11 Ogos.

Mengapa orang Melayu ada rasa “inferior” atau “jiwa hamba” walaupun mereka warga majoriti, 70% dalam negara ini?

Jawabnya senang sahaja : Singapura sebahagian dari Tanah Melayu kini di miliki oleh Cina yang asal usul mereka dari Tanah Besar China. 

Cina bukan anak asli Nusantara.

Jawabnya senang sahaja: Melayu melihat Pulau Pinang akan mengikuti langkah Singapura.

Baru-baru ini garis dan sikap yang menolak dan menafikan sejarah Pulau Pinang itu sebagai sebahagian daripada Kedah adalah permulaan. 

Malah mengancam dengan kuasa polis sesiapa yang menimbulkan sejarah Kedah adalah satu lagi bukti.

Mengapa Melayu merasa curiga? Mengapa Melayu merasa akan hilang tanah air mereka?

Jawanya senang sahaja: Lupakan berapa ribu hektar tanah rizab Melayu lesap ke tangan Cina. 

Lupakan juga berapa juta warga China Merah yang datang masuk sebagai pelawat tetapi tidak pulang dan menetap di Tanah Melayu sebagai pendatang haram.

Tidak perlu menggunakan pendekatan “Marxist” untuk Melayu melihat Tanah Melayu ini bukan lagi milik mereka. 

Buka sahaja mata, Melayu akan terlihat kondo-kondo mewah milik bukan Melayu. 

Pergi masuk ke dalam pekan dan kota Melayu akan melihat gedung membeli-belah dan kedai-kedai milik Cina.

Siapa kuasai ekonomi?

Pekan dan bandar punca ekonomi dalam sistem kapitalis adalah milik Cina.

Melayu tanpa menggunakan pendekatan “materialist” tetapi memandang “material” di hadapan mata. 

Mereka yakin bahawa Tanah Melayu ini bukan milik mereka.

Melayu bukan Marxist tetapi hakikatnya perasaan Melayu itu adalah perasaan kelas, kelas kaya dan kelas miskin.

Apa yang berlaku sekarang ini adalah pertempuran kelas dan bukan pertempuran kaum. 

Yang kaya Cina dan yang miskin Melayu.

Penghantar makanan menunggu pesanan di sekitar pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Penghantar makanan menunggu pesanan di sekitar pusat beli-belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dalam istilah Marxist, kontradiksi yang wujud sekarang ini bukan perkauman. 

Kontradiksi induk ialah yang miskin Melayu melawan yang kaya Cina. Ini pandangan Marxisme.

Justeru slogan Melayu-Islam menyengat. 

Para pengundi Melayu berkumpul menyokong Perikatan Nasional (PN).  

Pengundi Melayu melihat Bersatu sebagai penyambung nasionalisme Melayu. 

Pengundi Melayu juga melihat PAS sebagai penyelamat Melayu.

Sejarah berulang kembali. 

Kalau dahulu Umno membelot kerana bekerjasama dengan Inggeris, kali ini  parti yang “claim” parti keramat Melayu ini  dilihat membelot untuk duduk sebaris dengan parti DAP, yang dilihat oleh orang Melayu sebagai parti Cina.

Manifestasi yang amat jelas dan mencucuk mata Melayu ialah kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang bersumpah dan berjanji, “No Anwar No DAP”. 

Kalau tahun 1955 berunding dalam gelap dengan Inggeris untuk mematahkan perjuangan Pak Sako, Ahmad Boestamam, Burhanudin Helmy, kali ini berunding dalam gelap dan terang dengan PH untuk menyelamatkan pasukan penyamun kleptokrat daripada masuk penjara.

 Kemarahan Melayu kepada Zahid, Anwar dan DAP ini memusatkan sokongan Melayu kepada PN.

Apakah sokongan Melayu kepada PN ini akan dapat bertahan dan membawa kestabilan?

Jawabnya: Tidak.

Ini kerana  selagi agihan ekonomi tidak adil tidak seimbang dan Melayu masih merasa diperlakukan seperti Red Indian di Amerika Syarikat, maka politik di Tanah Melayu tidak akan stabil.

PN, PH atau Barisan Nasional (BN) memerintah semua dilihat sama. 

Selagi Melayu masih melihat pekan, bandar dan kota milik Cina maka selagi itu pertentangan kelas yang dimanifestasikan dengan Melayu benci Cina akan berterusan.

Apakah larangan polis terhadap 3R, agama, kaum dan raja akan mententeramkan keadaan dan membawa kestabilan? 

Tunggu minggu hadapan.