- Iklan -
Rencana

Undi PRN, undi ketidakpuasan hati terhadap PH-BN

Rata-rata pengundi sekarang tidak mementingkan soal calon kerana mereka lebih kepada mahu meluahkan perasaan mereka kepada kerajaan yang memerintah.

Muhammad Afifi Abdul Razak
4 minit bacaan
Kongsi

Dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang membabitkan Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang, banyak pihak yang berkongsi pemerhatian dan pandangan mereka mengenai apa yang berlaku di bawah.

Sepanjang tempoh berkempen ini, kita dapat lihat banyak isu penting dan manifesto parti-parti yang bertanding telah diuar-uarkan kepada para pengundi yang memberikan mereka input serta membentuk pendapat umum mengenai PRN 2023.

Di sini juga, timbul persoalan iaitu apakah yang akan dipilih oleh para pengundi, parti ataupun calon? PRN pada kali ini membabitkan komposisi pengundi yang terdiri daripada berbilang bangsa seperti Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa minoriti lain.

Undi Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) juga turut bergantung kepada undi daripada pengundi yang berbilang bangsa ini. Justeru itu, yang mana yang mesti dipilih, sama ada calon atau parti, ialah sebenarnya satu persoalan penting.

Isu ini juga turut memberi kesan kepada pilihan raya yang terdahulu. Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rata-rata pengundi dilihat memberikan isyarat jelas bahawa mereka lebih cenderung memilih parti politik yang dilihat dapat memberikan kestabilan kepada pembentukan kerajaan.

Bagi mereka, calon hanya memberikan impak pada skala kecil sahaja. Ini bermakna, pada ketika itu, sebahagian besar daripada 21 juta pengundi termasuk 1.2 juta remaja berusia antara 18 hingga 20 tahun telah membulatkan tekad dan memilih parti yang perlu dipangkah.

Kita mesti menerima hakikat bahawa PRN 2023 ialah satu bentuk “referendum rakyat” di negara ini yang ingin melihat pembaharuan politik berlaku dan sudah pasti keputusan PRN 2023 ini bakal memberikan impak besar kepada kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Dalam konteks PRN 2023 ini, jika pengundi sekadar inginkan pembaharuan kecil dalam kawasan tempat tinggalnya, maka bolehlah mengutamakan faktor calon yang ditampilkan. Pilihan ini boleh dibuat dengan mudah tanpa mengira parti mana yang diwakilinya. 

Namun, jika pengundi inginkan sesuatu yang lebih besar, sebagai contohnya, perubahan politik ataupun untuk mengekalkan status quo sedia ada baik di peringkat negeri atau negara, barangkali boleh sahaja difikirkan faktor parti yang diwakili oleh calon terbabit.

Strategi akhir dan penting yang mesti diperkemas oleh jentera parti-parti politik yang bertanding ialah dengan melancarkan kempen supaya para pengundi membulatkan tekad mereka dengan memilih parti politik berbanding dengan calon yang bertanding. 

Perkara ini selari dengan sentimen yang ada di bawah. Rata-rata pengundi sekarang tidak mementingkan soal calon kerana mereka lebih kepada mahu meluahkan perasaan mereka kepada kerajaan yang memerintah. Undinya bukan undi ‘for’ tetapi ‘against’ sesuatu.

Di dalam kata-kata Bridget Welsh, apa yang banyak disuarakan sekarang ialah perasaan ketidakpuasan hati, “kemarahan dan kebencian bercampur dengan ketakutan dan kekecewaan”.

Kerajaan dilihat tidak mempunyai dasar dan hala tuju yang jelas untuk menangani pelbagai isu ekonomi yang sedang mencengkam kehidupan rakyat di pelbagai peringkat. Malah slogan ‘reformasi institusi’ yang telah bertahun dilaungkan juga turut ‘senyap’ entah kenapa. 

Selain isu calon yang tidak begitu dominan, isu tempatan dan negeri juga ditenggelami oleh perasaan ketidakpuasan hati di peringkat nasional. Dalam konteks Kedah umpamanya, rakyatnya marah kerana negeri dan Menteri Besar mereka dilihat sebagai ditindas secara berlebihan.  

Lebih menjadikan PRN 2023 ini mempunyai ciri nasional ialah kerana Perdana Menteri terlibat aktif di dalamnya tidak seperti sebelum ini dalam mana Perdana Menteri seboleh-bolehnya menjauhkan diri daripada terlibat berkempen secara terus dalam PRN atau PRK.

Bila Perdana Menteri terlibat aktif di dalam PRN 2023, keputusannya pasti akan menjadi refleksi kepada penerimaan atau penolakan rakyat ke atas beliau. Jika PH-BN menang 4-2 atau 5-1 atau status quo kekal PH-BN kukuh tetapi bagaimana jika PN menang 4-2 atau 5-1?

Dalam konteks Kedah, dapat dilihat berbagai isu dihadapkan kepada menteri besarnya oleh perdana menteri dan menteri-menteri Kabinet beliau menunjukkan PH-BN begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan negeri itu tetapi bagaimana jika PN terus menang besar?

Terlalu aktif berkempen di luar juga boleh menimbulkan persoalan kerana mereka sepatutnya fokus berada di pejabat dan bekerja kerana cabang eksekutif ialah pelaksana bukan penceramah. Orang menilai mereka bukan dari ceramah tetapi dari hasil kerja mereka.

Strategi yang lebih baik untuk PH-BN sepatutnya ialah cuba fokus untuk mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang kerana mereka pasti selamat jika ini dapat dilakukan tetapi tumpuan berlebihan kepada Kedah boleh “backfire”.

Pujian perlu diberi kepada wartawan Utusan Malaysia, Muhamad Aimy Ahmad, kerana berani melaporkan perkara sebenar di lapangan, iaitu serangan bertali arus tidak menggoyahkan malah “gelombang Sanusi” (Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor) memungkinkan PN meraih kemenangan lebih besar di Kedah.

Serangan bertali arus dilihat tidak memberikan kesan malah lebih memantapkan lagi sokongan kepada Sanusi. Rakyat berfikir kenapa Sanusi perlu diserang atau dicabar untuk berdebat sedangkan isu-isu diperkatakan sepatutnya diselesaikan melalui sistem perundangan.

Wartawan akhbar, seperti juga cendekiawan, ada tanggungjawab menyampaikan kebenaran. Walaupun kebenaran itu mungkin tidak disukai oleh pihak yang berkepentingan, tetapi penyampainya akan dikenang oleh sejarah kerana ketulusan dan keberanian mereka.

Semoga dalam masa yang berbaki ini para pengundi dapat membulatkan tekad mereka dan membuat keputusan untuk memilih parti politik yang terbaik untuk mewakili mereka sebagai kerajaan berbanding calon yang jika parti kalah tidak akan mampu berbuat apa-apa. 

Muhammad Afifi Abdul Razak ialah Felo Penyelidik Bersekutu di Asian Institute for International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.