- Iklan -
Rencana

Logikkah PAS roboh kuil sedangkan patung Buddha terbesar terletak di Kelantan?

PAS tidak pernah merobohkan sebarang rumah ibadat dengan sewenang-wenangnya.

Muhammad Saufi Sulaiman
2 minit bacaan
Kongsi

Semboyan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah berbunyi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh membuang undi pada 12 Ogos ini. 

Parti-parti politik masing-masing membuat persiapan meraih undi di enam buah negeri. 

Ada yang cuba menonjolkan rekod prestasi sebelum ini, dan tidak kurang juga yang cuba bermain sentimen.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, telah memomokkan pengundi di Pulau Pinang bahawa tokong-tokong di negeri tersebut mungkin dirobohkan sekiranya Perikatan Nasional (PN) merampas kuasa nanti.

Berhujah di dalam suatu ceramah politik, Lim dengan tanpa segan silu telah mengeksploitasikan sentimen "3R" yakni kaum, agama dan raja. 

Tambah beliau, "gelombang hijau" kini telah melanda negara dan Lim menyeru rakyat Pulau Pinang untuk menjadi benteng mempertahankan hak dan kepercayaan mereka, khususnya yang bukan beragama Islam.

Bukankah ini jelas usaha memainkan sentimen "3R" yang dikritik oleh pemimpin DAP sebelum ini? Atau adakah pemimpin parti tersebut berpegang kepada prinsip "Do as I say, not as I do" ataupun cakap tak serupa bikin?

Adakah pemimpin seperti Lim berpendapat bahawa prinsip tersebut hanya  terpakai ke atas parti-parti seperti PAS dan Bersatu, manakala DAP dan sekutunya tidak perlu akur? Bukankah ini “double standards”?

Mungkin pemimpin DAP sudah lupa bahawa patung Buddha berbaring terbesar di Malaysia terletak di Tumpat, Kelantan, negeri di bawah pimpinan PAS sejak 1990. 

Jika kuil tersebut, Wat Phothivihan, masih berdiri dengan teguh sehingga ke hari ini, adakah logik PAS akan merobohkan rumah ibadat agama bukan Islam di negeri lain?

Selain Kelantan, PAS sedang atau pernah bertapak di Putrajaya dan negeri-negeri seperti Kedah, Selangor, Terengganu dan Perak. 

Pernahkah PAS merobohkan sebarang rumah ibadat dengan sewenang-wenangnya? 

Jika tidak, nyata Lim hanya sengaja memburuk-burukkan pimpinan PN di mata pengundi bukan Melayu menjelang PRN ini.

Lim mungkin sudah terlupa. Semasa zaman Pakatan Rakyat, DAP pernah menganjurkan lawatan komuniti bukan Melayu ke negeri-negeri pimpinan PAS seperti Kelantan dan Kedah. 

Tujuan lawatan-lawatan tersebut adalah untuk "membuka mata" komuniti Tionghua akan sikap toleransi dan keterbukaan pemimpin-pemimpin PAS.

Tapi, kini hala tuju dan nada DAP sudah berpusing 180 darjah. 

PAS, mengikut naratif terkini DAP, bukan lagi sebuah parti sederhana tetapi ekstrem ala Taliban yang memusnahkan patung-patung Buddha di Bamiyan, Afghanistan. 

Jalan cerita ini lebih memanfaatkan DAP dalam meraih sokongan pengundi bukan Islam pada 12 Ogos nanti.

Tetapi membakar sentimen sedemikian hanya menyemai bibit-bibit perpecahan dan perasaan syak wasangka di dalam negara berbilang kaum ini. 

Ia hanya mengundang ketakutan pengundi-pengundi bukan Melayu dan menimbulkan kemarahan dan kebencian pengundi-pengundi Melayu.

Adakah perpecahan sedemikian yang diidamkan oleh Lim? Adakah kemenangan di peti undi nanti mengatasi segala-galanya, termasuk menggadaikan keharmonian negara? 

Lim dan DAP harus muhasabah.

Berhentilah menjolok api perkauman dan keagamaan. 

Ini kerana bila api sudah membara dan merebak dengan cepat, ia bukan sahaja akan membakar mereka yang menangguk di air keruh, malah akan menjilat dan membinasakan negara.

Muhammad Saufi Sulaiman ialah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.