- Iklan -
Rencana

Siapa berhak dapat pilihan pertama bentuk kerajaan?

Kebuntuan politik Malaysia menyebabkan persaingan antara calon perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim berlanjutan sehingga hampir seminggu.

Jamari Mohtar
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki melintas jambatan dipenuhi bendera gabungan parti politik sepanjang kempen pilihan raya di Tambun, Perak.
Seorang lelaki melintas jambatan dipenuhi bendera gabungan parti politik sepanjang kempen pilihan raya di Tambun, Perak.

Parti-parti politik Malaysia telah menemui jalan buntu. Kepimpinan pelbagai parti politik tidak dapat mencapai kata sepakat sesama mereka untuk mencadangkan seorang calon perdana menteri.
 
Apa masalahnya?
 
Masalah ini timbul kerana Barisan Nasional (BN) dengan 30 orang calonnya jelas sedang mengalami perpecahan. Sebagai sebuah parti politik, Majlis Tertingginya telah membuat keputusan untuk tidak terlibat dalam kerajaan dan ahli Parlimennya telah menyatakan hasrat mereka untuk mematuhi arahan itu.
 
Kedua, presiden parti mereka telah terang-terangan berbohong kepada Istana. Ini menjadi jelas apabila para pemimpin parti komponennya dengan tegas dan sebulat suara telah menyatakan bahawa presiden BN telah mengambil pendirian yang tidak konsisten dengan keputusan Majlis Tertingginya.
 
Majlis Tertinggi mereka telah memutuskan tentang hasratnya untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN).
 
Ahli individu mereka telah bersetuju dengan pendirian ini yang bermakna 30 ahli Parlimen BN tidak boleh dipertimbangkan atau diambil kira dalam sebarang kiraan untuk sokongan majoriti dalam Dewan.
 
Akibatnya tiada satu parti pun boleh membentuk majoriti mudah.
 
Adakah cadangan untuk mengatasi masalah ini?
 
Terdapat beberapa cadangan untuk membenarkan seorang calon membentuk Kerajaan dan kemudian membenarkan calon tersebut untuk cuba membina gabungan.
 
Hujah ini adalah bersandarkan kepada konvensyen parlimen United Kingdom (UK) yang mencadangkan bahawa pemimpin parti yang mempunyai kerusi terbanyak harus diberi hak untuk membentuk kerajaan.
 
Patutkah konvensyen itu diguna pakai di Malaysia?
 
Konvensyen itu secara keseluruhannya tidak boleh digunakan di Malaysia. Terdapat kesukaran yang serius dengan penerapan konvensyen ini.
 
Pertama, di UK, sebahagian dari konvensyen dalam parlimen tergantung ialah penyandang perdana menteri biasanya diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan. 
 
Ini kerana UK pada asasnya ialah sistem dua parti (Buruh dan Konservatif (‘Labour and Conservative’)) dengan beberapa parti yang lebih kecil (Unionist Democratic Party/Liberal Democrats).
 
Malaysia pula mempunyai gabungan beberapa parti politik: BN yang terdiri dari Umno-MCA-MIC atau PN (Bersatu-PAS-Gerakan) atau PH (PKR-DAP-Amanah).
 
Gabungan parti-parti ini biasanya membentuk gabungan lanjut dengan parti-parti yang lebih kecil.
 
Tidak ada gunanya meminta penyandang perdana menteri Malaysia untuk membentuk Kerajaan kerana beliau tidak mungkin akan dapat membentuk kerajaan memandangkan partinya hanya mempunyai 30 kerusi di Parlimen. Oleh itu, tidak ada peluang untuk beliau membentuk kerajaan.
 
Kedua, konvensyen ala UK tidak konsisten dengan amalan di Malaysia sejak 2018.
 
Di UK, adaiannya ialah semua ahli yang membentuk dua gabungan parti terbesar akan mengundi secara konsisten dan undangan akan diberi kepada pemimpin parti yang mempunyai kerusi terbanyak untuk membentuk kerajaan, kerana asasnya adalah ia berpaksikan sistem dua parti.
 
Ini bukanlah konvensyen di Malaysia. Jika terdapat keraguan, Istana telah meminta setiap ahli Parlimen untuk menyediakan akuan berkanun yang ditandatangani untuk menentukan niat mereka termasuk mengadakan temu bual secara individu dengan ahli Dewan Rakyat.
 
Apakah ujian yang akan digunakan?
 
Di Malaysia, terdapat perlembagaan bertulis. Lantaran itu, keperluannya adalah untuk calon meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau adalah seseorang yang “pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat." Ini adalah ujian spesifik.
 
Ujian ini tidak boleh dipenuhi dengan hanya memilih parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak untuk membentuk kerajaan. Terdapat dua sebab untuk ini.
 
Pertama, ujian memerlukan seseorang yang "pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu". Ia tidak membuat andaian bahawa parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak berkemungkinan menguasai kepercayaan majoriti ahli dewan. Itu hanya terpakai dalam sistem dua parti seperti di UK.
 
Adalah tidak mustahil dalam politik gabungan Malaysia bahawa satu parti (atau gabungan) secara individu mempunyai bilangan kerusi terbesar tetapi gabungan parti yang lebih kecil (dengan bilangan kerusi individu yang lebih kecil) secara kolektifnya boleh melebihi satu parti yang lain dan membentuk majoriti.
 
Kedua, dengan hanya memilih parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak adalah tidak konsisten dengan konvensyen di Malaysia untuk menguji kehendak setiap ahli Parlimen melalui akuan berkanun dan temu bual.
 
Konvensyen Malaysia, sebaliknya, adalah selaras dengan keperluan Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan siapa yang “pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan itu".
 
Perlu diingatkan bahawa kedua-dua pesaing utama untuk jawatan itu memperolehi bilangan mereka daripada gabungan parti-parti komponen.
 
Apakah huraiannya?
 
Jalan ke hadapan adalah untuk memberikan calon yang boleh menunjukkan dia berkemungkinan besar mendapat sokongan bilangan terbesar ahli dewan hak pertama untuk membentuk kerajaan dan membiarkan calon itu cuba mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
 
Itu adalah pengubahsuaian konvensyen UK yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan konvensyen di Malaysia.
 
Dengan ini, jelaslah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan dan bukannya Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana beliau mendapat sokongan sekurang-kurangnya 105 ahli Dewan.
 
Muhyiddin mendapat sokongan seramai 105 ahli Dewan Rakyat yang terdiri daripada 73 ahli daripada PN, 23 ahli daripada GPS, 6 ahli daripada GRS, 2 ahli bebas dan seorang ahli dari KDM.
 
Anwar mendapat sokongan sebanyak 86 kerusi ahli Dewan Rakyat yang terdiri daripada 81 ahli daripada PH, seorang ahli daripada Muda, tiga ahli daripada Warisan dan 1 ahli daripada PBM.
 
Bagi mencapai keputusan ujian tentang siapa yang lebih berkemungkinan dapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka peluang pertama harus diberikan kepada Muhyiddin kerana beliau mendapat sokongan daripada bilangan ahli Parlimen yang paling ramai.
 
Jamari Mohtar ialah editor Jom Sembang!, sebuah buletin berita dalam talian mengenai hal ehwal semasa.