- Iklan -
Rencana

Industri tembakau cuba gagalkan RUU generasi penamat rokok

Tidak ada persoalan pelanggaran kebebasan orang ramai jika ia membabitkan bahan yang sangat toksik dan ketagihan seperti produk tembakau.

Mohideen Abdul Kader
4 minit bacaan
Kongsi
RUU yang melarang penjualan rokok kepada generasi muda dilihat boleh membantu golongan berpendapatan rendah di mana kos untuk tabiat itu boleh mencecah ratusan ringgit sebulan.
RUU yang melarang penjualan rokok kepada generasi muda dilihat boleh membantu golongan berpendapatan rendah di mana kos untuk tabiat itu boleh mencecah ratusan ringgit sebulan.

Sebagai pendokong kempen kawalan tembakau selama beberapa dekad, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) secara konsisten menentang penggunaan tembakau dengan alasan dan berasaskan bukti.

Oleh itu, kami menyokong perundangan generasi penamat rokok (GEG) Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai usaha penting untuk menghindari tabiat ketagihan.

Perokok tegar sangat sukar untuk berhenti merokok kerana ketagihan nikotin akibat daripada merokok. Eksekutif tertinggi syarikat tembakau utama AS memberikan keterangan bersumpah di hadapan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada 1994 bahawa mereka tidak percaya bahawa nikotin bersifat ketagihan.

Ia adalah pembohongan yang nyata kerana dokumen dalaman mereka menceritakan kisah yang berbeza.

Contohnya, dalam dokumen dalaman 1963, naib presiden Brown & Williamson ketika itu Addison Yeaman menulis, "Kami, perniagaan menjual nikotin, adalah ubat ketagihan yang paling berkesan untuk membebaskan tekanan."

Industri tembakau dikawal dengan lebih ketat apabila Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) berkuat kuasa pada tahun 2005.

Pada masa ini terdapat 182 pihak dalam perjanjian itu, meliputi lebih 90% penduduk dunia.

Pada 2013, British American Tobacco (BAT) mula mengeluarkan e-rokok (digunakan secara bergantian dengan produk vape) dan melabelkannya sebagai "Produk Generasi Seterusnya" (NGP).

Industri itu kemudiannya memperkenalkan Sistem Penghantaran Nikotina Elektronik (ENDS) dan Produk Tembakau Dipanaskan (HTP) untuk menggagalkan de-normalisasi merokok dan penggunaan tembakau FCTC.

Ia menjelaskan bahawa peranti ini akan menjadi alternatif yang lebih baik untuk perokok dewasa yang tidak boleh atau tidak mahu berhenti merokok.

Walau bagaimanapun, industri ini gagal untuk menunjukkan hakikat bahawa seorang perokok memerlukan dos tertentu nikotina untuk menghentikan keinginannya. Untuk mencapainya, perokok mungkin akan mengambil sedutan yang lebih dalam dan lebih lama untuk mengimbangi nikotina rendah yang dikeluarkan daripada aerosol, dengan itu peningkatkan tahap bahan kimia lain yang terdapat dalam aerosol.

Khairy telah menegaskan bahawa kerajaan akan menelan belanja RM8.8 bilion menjelang 2030 untuk merawat hanya tiga daripada penyakit berkaitan merokok utama – kanser paru-paru, penyakit jantung dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) – berbanding RM3 bilion yang  kerajaan kutip hasil cukai tembakau.  Ia adalah liabiliti ekonomi kepada negara.

Pada November 2021, Pusat Racun Negara (PRN) yang berpangkalan di Universiti Sains Malaysia (USM) melaporkan bahawa selama tiga tahun berturut-turut ia mencatatkan peningkatan ketara berkaitan keracunan nikotina akibat pendedahan vape.

Kebanyakan kes pendedahan vape yang diterima PRN adalah tidak disengajakan dan ianya boleh dicegah.

Bertentangan dengan apa yang didakwa oleh Persatuan Alternatif E-Vaporiser & Tembakau Malaysia (Mevta) dan Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) pada 21 Julai, vape tidak selamat kerana ia melibatkan penyedutan bahan kimia berbahaya seperti diacetyl (bahan kimia yang dikaitkan dengan penyakit paru-paru yang serius, bahan kimia penyebab kanser, sebatian organik meruap, dan logam berat toksik seperti nikel, timah dan plumbum.

Setiap kali terdapat ancaman kepada industri, ia akan menggunakan kumpulan hadapan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan perdagangan untuk mencapai agenda mereka, dan mendakwa bahawa pengenalan langkah kawalan tembakau akan menjejaskan perniagaan mereka.

Khairy mengesahkan pada 31 Julai bahawa terdapat pemain industri tembakau melobi terhadap GEG di Parlimen.

Tanggapan beliau adalah benar, bahawa pelobi melakukan kesalahan di bawah FCTC kerana ia telah dinyatakan secara jelas dalam Perkara 5.3 bahawa “Dalam menetapkan dan melaksanakan dasar kesihatan awam mereka berkenaan dengan kawalan tembakau, pihak berwajib hendaklah bertindak untuk melindungi polisi ini daripada komersial dan lain-lain kepentingan industri tembakau mengikut undang-undang negara”.

Pada 20 Julai, Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) menyatakan bahawa ia kecewa dengan rang undang-undang untuk mengharamkan penjualan rokok dan vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005, dengan mendakwa bahawa “penjualan produk ini menghasilkan pendapatan yang lumayan bagi  perniagaan kami".  

Kami ingin menegaskan bahawa perniagaan utama MSCSPGA adalah perniagaan kedai kopi dan bukan dalam penjualan rokok atau vape.

Berkenaan isu penjualan rokok haram, ia sama seperti meminta kerajaan menghalalkan penjualan heroin (ketagihan nikotin adalah sama dengan ketagih heroin atau kokain) supaya dapat mengelakkan orang ramai membeli dari sumber haram.

Akses mudah kepada rokok adalah masalah yang berterusan kerana terdapat kira-kira 80,000 peruncit rokok yang terdiri daripada kedai kopi, kedai runcit, kedai serbaneka, dan juga kios (‘kedai kotak’ di tepi jalan) di negara ini. Kebanyakannya terletak berdekatan dengan institusi pendidikan, tempat ibadat dan taman yang tidak sepatutnya.

Dalam satu daripada tiga kebimbangan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menyatakan pada pertengahan Julai bahawa ia akan melanggar kebebasan orang ramai untuk membuat keputusan yang boleh membawa kepada pengharaman minuman beralkohol dan bergula.

WHO tidak akan mengesyorkan minuman beralkohol dan bergula dalam pembungkusan biasa seperti yang ada dengan produk tembakau kerana "produk tembakau berbahaya secara unik".  

Oleh itu,  kebimbangan Syed Saddiq bahawa kerajaan akhirnya boleh mengharamkan minuman beralkohol dan manisan gula adalah tidak berasas kerana mereka tidak berada dalam kumpulan yang sama dengan tembakau dari segi risiko kesihatan yang sangat besar.

Tidak ada persoalan mengenai pelanggaran kebebasan orang ramai apabila ia membabitkan bahan yang sangat toksik dan ketagihan seperti produk tembakau.  

Ia juga boleh menjadi hak orang ramai untuk menggunakan dadah haram jika kebimbangan yang sama tentang kebebasan orang ramai digunakan.

Kami menggesa ahli Parlimen menyokong GEG untuk generasi masa depan negara.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow