- Iklan -
Kolum

Mengapa pesta buku meriah luar biasa tahun ini?

Penyertaan daripada penerbit bahasa Cina dan India tidak kelihatan.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Sepanjang minggu lalu, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung dengan meriah.

Dari pemerhatian dan maklum balas orang ramai di media sosial, kemeriahannya luar biasa daripada tahun-tahun sebelumnya.

Pada hujung minggu ketika PBAKL itu berlangsung, kehadiran orang ramai di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC), tempat pesta itu berlangsung melimpah ke pusat membeli belah bersebelahan, Putra Sunway.

Semasa hari-hari bekerja, orang ramai tetap mengerumuni pesta ini, sesuatu yang tidak berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

Mungkin PBAKL kali ini diadakan pada cuti sekolah yang membolehkan para murid mengunjunginya.

Ia menjadi lebih bermakna apabila difikirkan bahawa negara sedang dilanda inflasi dengan cabaran keselamatan makanan.

Dalam keadaan ini pun, sebahagian masyarakat masih bersedia untuk membeli buku yang sentiasa dianggap sebagai barang tidak perlu.

Buku bukanlah dikira barang mewah.

Hanya buku-buku import berkulit keras yang kini harganya mencecah lebih seratus ringgit sebuah akibat daripada kejatuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat boleh dianggap sebagai barang mewah.

Tetapi untuk membaca buku bermutu luar negara kini tidak perlu membeli buku kertas.

Seseorang hanya perlu membaca e-buku yang banyak dalam internet sama ada secara percuma atau dengan bayaran harga murah.

Buku-buku bahasa Melayu berbentuk e-buku pula boleh dipinjam dari Perpustakaan Negara secara percuma.

Tetapi masyarakat masih tidak puas hati dengan e-buku.

Mereka masih tetap mahu memiliki buku kertas yang boleh disimpan.

Walaupun mutu buku bahasa Melayu secara umumnya lebih rendah daripada buku import dalam pelbagai segi, dari penulisan dan penyuntingan hinggalah kepada reka bentuk dan percetakan, namun sebahagian besar rakyat ini meminati buku yang diterbitkan oleh penerbit tempatan.

Sokongan dari peminat-peminat buku inilah yang mendorong penerbit tempatan untuk terus menerbitkan buku walaupun menghadapi risiko kerugian.

Malah ada antara mereka yang saya kenal menceburi industri bukan kerana keuntungan semata-semata tetapi oleh kerana minat terhadap dunia buku ini.

Mereka adalah aktivis buku, baik sebagai penerbit atau penjual buku.

Tanda-tanda awal bahawa PBAKL kali ini akan meriah kelihatan sejak sebulan lalu apabila para penerbit sibuk mengejar masa untuk mengeluarkan buku baru.

Mereka ghairah mencari manuskrip, melakukan penyuntingan dan menghantarnya untuk dicetak.

Mereka mengharap pesta buku kali ini dapat memberikan keuntungan setelah dua tahun hanya bergantung pada jualan secara dalam talian.

Saya pergi ke PBAKL ini pada Ahad lalu dan mendapati LRT dan komuter penuh sesak dengan pengguna yang pergi balik dari WTC.

Ada dua laluan keretapi yang membawa penumpang ke WTC iaitu LRT di stesen PWTC dan Komuter KTM di stesen Putra.

Di sebelah petang, Komuter dari stesen Putra hingga ke destinasi-destinasi Negeri Sembilan penuh dengan penumpang.

Bagi peminat buku tentunya keadaan ini menggembirakan kerana sejak akhir-akhir ini terdapat tanda bahawa minat orang ramai terhadap buku sudah begitu merosot hinggakan pada bulan lalu saja, satu perbincangan timbul bahawa banyak kedai buku ditutup kerana tidak dapat meneruskan perniagaan.

Perhatian berat diberikan terhadap kemungkinan nasib buku di negara ini berada di penghujungnya.

Hasil sebenar dari PABKL akan hanya diketahui selepas penganjur menerima laporan dari para peserta yang terdiri daripada penerbit dan penjual buku mngenai kutipan jualan dan maklum balas.

Namun selepas seminggu saja, iaitu pada Khamis lepas, ada penerbit yang sudah menyatakan rasa syukur kerana jualan melepasi sasaran.

Ada penerbit yang hanya mencetak bukunya pada bilangan kecil mendapati sebahagian bukunya habis terjual.

Keadaan ini bukanlah suatu yang lumrah kerana dalam pesta-pesta buku yang lalu banyak penerbit yang mengeluh kerana jualan mereka tidak dapat memenuhi kos operasi sepanjang pameran.

Keluhan ini turut kedengaran dalam pesta sebelum ini, iaitu pada tahun 2019.

PBAKL tidak diadakan selama dua tahun iaitu 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.

Ini adalah juga dikatakan satu faktor mengapa tahun ini ia mendapat sambutan meriah.

Tetapi kalau masyarakat, terutama generasi baru sudah kehilangan minat terhadap buku, mengapa pula mereka mengambil peduli terhadapnya?

Dari pemerhatian saya, terdapat ramai kanak-kanak dan remaja yang datang.

Sama ada yang datang bersama keluarga, dengan kawan, rombongan sekolah atau berseorangan.

Ada antara mereka merupakan pengunjung kali pertama ke pesta buku.

Mereka ini adalah generasi gajet iaitu hidupnya bermula dengan pendedahan kepada telefon pintar atau tablet, dan bukannya buku.

Tentulah tidak semua mereka ini akan menjadi peminat buku.

Mereka mungkin datang untuk bersuka ria dan melihat apa yang ada pada pesta ini.

Tetapi dari pemerhatian saya, generasi baru ini tetap membelek-belek buku dan membelinya.

Ada yang turut duduk mendengar ucapan-ucapan penulis menerangkan mengenai buku mereka, malah meminta tanda tangan autograf.

Maknanya mereka mulai berjinak pada budaya perbukuan.

Dalam hal ini, perlu juga melihat konteks PBAKL dalam masyarakat negara ini.

Walaupun namanya Pesta Buku Antarabangsa, tetapi apa yang dikatakan antarabangsa, iaitu penglibatan peserta dari luar amatlah kecil sekali.

Adalah saya melihat reruai peserta Turki.

Tetapi untuk mengatakan ia merupakan pesta nasional juga, tidak boleh.

Penyertaan daripada penerbit bahasa Cina dan India tidak kelihatan.

Begitu juga penerbit dari Sarawak dan Sabah.

PBAKL didominasi oleh penjual buku-buku Melayu.

Walaupun terdapat ramai juga penerbit dan penjual buku bahasa Inggeris.

Oleh kerana sebahagian besar orang Melayu adalah konservatif, maka tidak hairanlah, PBAKL ini dipenuhi dengan penerbit dan penjual buku agama Islam.

Ini kerana buku-buku agama lebih laris daripada buku jenis lain.

Namun begitu begitu, buku alternatif bukan arus perdana seperti dari golongan kiri tetap berpeluang menjual buku di situ.

Selain itu, penglibatan agensi-agensi kerajaan yang didominasi Melayu adalah besar dalam PBAKL, dari Perpustakaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka dan universiti-universiti awam yang menambah meriah pesta ini.

Seperkara lagi ialah hubungan rapat pesta buku ini dengan masyarakat Melayu.

Orang Melayu adalah kaum konservatif yang tidak mempunyai pesta untuk meluah perasaan.

Umumnya mereka tidak pergi ke konsert atau menonton teater.

Tiada majlis tari-menari atau perarakan suka ria.

Apa yang ada ialah pesta membeli-belah. Maka PBAKL menjadi tumpuan keluarga untuk melakukan rekreasi.

Dalam pada itu, budaya buku dan intelektual dalam masyarakat tidaklah tinggi.

Buku yang laris adalah dalam bentuk ringan dan menghiburkan.

Novel-novel popular adalah jauh lebih laris daripada karya sastera.

Buku motivasi dan resipi lebih diminati daripada buku politik, sejarah dan sains.

Buku agama yang laris adalah tajuk biasa yang sering diutarakan oleh penceramah.

Pun begitu, buku-buku serius sarat intelektual tetap ada tempat di PABKL.

Satu lagi kepentingan PBAKL adalah ia merupakan satu-satunya tempat untuk mencari buku terutama dalam bahasa Melayu.

Ini kerana hampir tiada kedai buku Melayu sebenar di negara ini. Ia hampir pupus.

Apa yang dikatakan kedai buku sebenar ialah ia menjual hampir semua tajuk buku Melayu yang masih ada dalam pasaran, sama ada buku terkini atau lama.

Kedai buku yang ada kini hanya menjual sebilangan kecil buku dalam bahasa Melayu,

Jika seseorang hndak mencari sesuatu tajuk, besar kemungkinan dia akn gagal.

Melalui secara dalam talian juga tidak membantu. Buku yang mereka jual juga terhad.

Saya mengunjungi PBAKL hampir setiap tahun sejak tahun 1983.

Akan sampai masanya saya tidak lagi mampu mengunjunginya.

Tetapi kemeriahan PBAKL tahun ini memberi harapan bahawa dunia buku akan terus wujud untuk banyak tahun lagi.