- Iklan -
Rencana

Akhirnya agenda sebenar dan perangai buruk Zahid terbongkar

Ahli Umno jangan terlena dibuai kemenangan sedangkan risiko ada di depan mata apabila presidennya sendiri menjadi liabiliti kepada parti.

Umno Pasir Gudang
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Mahkamah Tinggi 24 Januari lalu selepas diperintah membela diri bagi 47 pertuduhan jenayah membabitkan dana yayasan kebajikan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Mahkamah Tinggi 24 Januari lalu selepas diperintah membela diri bagi 47 pertuduhan jenayah membabitkan dana yayasan kebajikan.

Saya sebagai ahli Umno di negeri Johor yang berada dalam sebuah sejarah kemenangan BN di Johor yang seharusnya bergembira tetapi bertukar rasa kecewa dan marah sehingga menghilangkan rasa hormat saya kepada Ahmad Zahid Hamidi.

Di peringkat cawangan atau pun bahagian, saya antara orang yang mempertahankan presiden Umno itu walau serangan dan fitnah dihalakan ke arah Zahid.

Tetapi hari ini Zahid dengan tanpa rasa setiakawan telah menafikan peranan perdana menteri itu dalam menyumbang kemenangan PRN Johor di depan khalayak ramai akan.

Saya di bahagian tahu akan sumbangan dan sokongan yang dilakukan Ismail sepanjang kempen.

Calon, ketua bahagian, timbalan dan naib ketua bahagian sehinggalah ketua sayap-sayap di Johor tidak boleh menolak akan bantuan dan sumbangan Ismail, termasuk Puad Zarkashi, yang selama ini mengutuk dan menyerang Ismail.

Apakah hati kering Zahid sehingga tidak ada sepatah ucapan terima kasih kepada Ismail dalam ucapan selepas kemenangan.

Saya yang berada di depan pentas menunggu perkataan atau ucapan terima kasih presiden parti kepada Ismail tetapi sehingga habis ucapan saya tidak mendengarnya.

Apakah Zahid hari ini cuba menggambarkan secara terbuka bahawa sikap beliau yang lupa akan kawan yang pernah mempertahankan beliau ketika seluruh pemuda dan timbalan sendiri mendesak beliau agar berundur dan berehat kerana liabiliti dari kes-kes rasuah yang banyak sebelum ini.

Apakah hari ini Zahid sedang cuba mengkhianati usul-usul bahagian yang mahukan Ismail sebagai “poster boy” untuk PRU15 nanti dengan menukar poster boy itu kepada Najib Razak?

Apakah ahli Umno masih mahu mengulangi kesilapan sehingga kalah pada PRU14 lepas?

Zahid ternyata telah mengisytiharkan perang secara terbuka terhadap Ismail.

Memperlakukan seorang perdana menteri yang mempunyai kuasa terhadap sebuah kerajaan seolah tidak wujud di khalayak ramai membuktikan betapa Zahid manusia yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur akan ketidakupayaan beliau sebagai presiden yang dibantu sahabat sekeliling.

Terbukti juga hari ini bahawa cadangan Ismail sebagai poster boy yang disokong beliau sebelum ini hanya gula-gula untuk menyedapkan hati Ismail, walhal secara terbuka seawal PRN Johor ini beliau telah membuat kenyataan dalam ceramah beliau bahawa beliau dan Mat Hasan akan mengepalai dan mengurus kerajaan selepas PRU15 nanti.

Apakah beliau lupa akan liabiliti yang ditanggung rakyat melibatkan puluhan kes rasuah yang sedang dalam perbicaraan.

Dan apakah kerana terdesak daripada penghakiman itulah Zahid menekan dan merekayasa satu drama bahawa PRU15 perlu diadakan dalam kadar segera untuk lepas diri daripada kes mahkamah?

Rakyat tidak bodoh.

Ahli Umno jangan terlena dibuai kemenangan sedangkan risiko ada di depan mata apabila presidennya sendiri menjadi liabiliti kepada parti.

Liabiliti itu sebenarnya sedang menambah risiko sekali lagi Umno kalah teruk dan mungkin tidak lagi mampu bangkit selepas ini.

Hari ini saya amat kecewa dengan presiden yang rupanya sedang berkonfrontasi dengan survival politik peribadi sehingga mengheret parti sebagai perisai dirinya.

Saya mohon Zahid sedar dan berfikir dengan waras bahawa perbuatan beliau hari ini merupakan bayangan dan cerminan kepada sebuah hati yang rakus dan kotor terhadap rakan dan orang yang pernah membantu beliau dan Umno.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow