- Iklan -
Rencana

Surat terbuka kepada pemimpin parti lawan BN

BN bukan lagi musuh politik parti, bahkan ia adalah musuh demokrasi.

Mahdzir Ibrahim
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa petugas jentera Barisan Nasional memasang bendera sempena kempen Pilihan Raya Negeri Melaka di Jalan Bukit Senjuang.
Beberapa petugas jentera Barisan Nasional memasang bendera sempena kempen Pilihan Raya Negeri Melaka di Jalan Bukit Senjuang.

Dalam keadaan semua parti sukar untuk menang, maka siapa menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini sudah tidak penting. Yang penting rakyat perlu keluar mengundi beramai-ramai.

Ini juga adalah mesej kepada Barisan Nasional (BN) bahawa manipulasi mereka untuk menggagalkan usaha parti-parti bukan kerajaan untuk meraih undi, berjaya dipatahkan.

Umno dan BN “gembira” jumlah keluar mengundi rendah sebagaimana di Sabah dan Melaka, kerana dengan formula ini sahaja akan dapat membantu mereka untuk kembali berkuasa.

Sifir ini sepatutnya sudah jelas buat kita semua sejak PRN Sabah dan Melaka.

Oleh yang demikian, parti-parti bukan kerajaan harus berusaha berkempen bukan hanya untuk lawan Umno semata-mata, tetapi berkempen untuk memastikan rakyat keluar mengundi seramai mungkin.

Sifir kita dari blok bukan BN kena segera berubah. Atau, kita akan kalah dua kali dengan BN. Kekalahan pertama apabila calon BN menang, dan kekalahan kedua apabila jumlah undi di peti undi, rendah. Kita tak harus membiarkan perkara ini terjadi.

Orang parti mahu calon parti mereka menang, itu wajar dan tidak salah. Namun, ia tak semestinya benar dalam kerangka politik yang lebih luas.

Perspektif saya ini jauh dari kerangka politik kepartian – yang hanya mahu calon parti menang, malah perspektif saya ini mungkin tidak popular dan tak digemari oleh mereka yang berparti.

Kita harus melihat bahawa BN bukan sahaja musuh politik kepada parti politik semata-mata, bahkan ia adalah musuh demokrasi.

Kenapa saya katakan begitu? Ini kerana BN memanipulasi sistem demokrasi dengan cara yang cukup licik hingga menjadikan sistem pilihan raya tidak berfungsi.

Seperti yang saya utarakan sebelum ini, apabila sistem pilihan raya dipergunakan dengan mengadakan pilihan raya mengejut (PRN Johor) dalam suasana ekonomi, keselamatan, kesihatan yang kritikal, maka kesannya ialah pada jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Ini akan merosakkan keseluruhan idea demokrasi iaitu untuk membuka sebanyak mungkin ruang dan peluang kepada pemilih (rakyat) untuk memilih yakni keluar membuang undi.

Kerana itu saya katakan, BN ini bukan lagi musuh politik parti, tetapi musuh demokrasi.

Kita harus kembali kepada rakyat kerana hanya dengan kuasa rakyat terbanyak sahaja yang boleh menumbangkan hegemoni BN ini. Lihat sahaja bagaimana bila rakyat beramai-ramai keluar mengundi pada PRU pada 2018, BN boleh tumbang.

Rekod sudah ada, kita cuma perlu fokus pada kerangka utama politik. Mana-mana parti politik akan berpeluang menang dan berjaya apabila lebih banyak penglibatan politik (undi) dalam kalangan rakyat. Ini perspektifnya.

Saya ulang kata, ketepikan sementara perbezaan politik kepartian dan pastikan rakyat keluar beramai-ramai untuk mengundi termasuk melalui undi pos. Kita harus mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membantu kempen keluar mengundi beramai-ramai menerusi pelbagai cara dan pendekatan. Itu tugas SPR.

Suara saya amat kecil berbanding selebriti politik yang lain, namun saya harap perspektif ini dapat membantu pemimpin parti untuk merumus kembali usaha dalam PRN Johor demi kebaikan rakyat semua.

Inilah masanya untuk kita mengutamakan keluhuran demokrasi demi kebaikan rakyat, negeri dan negara.

Mahdzir Ibrahim adalah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow