- Iklan -
Rencana

Keganjilan permainan politik Umno

Ahli-ahli Umno bukan lagi seperti lembu dicucuk hidung, mereka semakin bijak dan kritikal.

Abdullah Salim
2 minit bacaan
Kongsi
Hala tuju Umno kini menjadi persoalan ramai ahli-ahlinya selepas langkah politik yang diambil presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: AP
Hala tuju Umno kini menjadi persoalan ramai ahli-ahlinya selepas langkah politik yang diambil presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: AP

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kecewanya para petugas barisan hadapan tatkala mereka sedang bertungkus lumus menjalankan kewajipan mengurus pesakit dan pandemik Covid-19, tiba-tiba diberitahu bahawa ada segelintir puak pemimpin parti politik ingin menjatuhkan kerajaan.

Sedangkan tatkala ini pastinya mereka semua petugas dan rakyat mengharapakan agar kerajaan dan pimpinan politik tanpa mengira parti, untuk berganding bahu bersama dalam membantu menangani dan mengurus pandemik yang sedang berada dikemuncaknya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Kejujuran presiden Umno ketika ini tidak lagi boleh disandarkan oleh kita semua. Malah menteri Khairy Jamaluddin juga cakap benda yang sama. Ucapan perjuangan beliau nyata sekali satu retorik yang akhirnya, keinginan sebenar beliau dapat diketahui iaitu mahu menjatuhkan kerajaan dan menyelamatkan diri dan kumpulannya.

Selepas pengumuman Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu yang mengisytiharkan menarik sokongannya kepada perdana menteri, saya sempat berbual dengan orang-orang lama yang sebahagiannya pernah menjadi ahli Umno.

Mereka sependapat bahawa tindakan Zahid ini 100% bermotifkan politik, bukan agenda perubahan atau perjuangan menyelamatkan negara daripada krisis pandemk.

Saya merasa agak ganjil kerana yang berpendapat begini rata-ratanya orang lama yang sudah berumur lebih 50 tahun. Bagaimana mereka merasa sentimen seperti ini?

Saya tak bertangguh dan bertanya, apa maksud motif politik semata-mata?

Jawapan yang diberi cukup mengujakan saya.

“Apa tak politiknya, dia (Zahid Hamidi) beritahu Agong dah tarik sokongan kepada PM, kenapa beritahu begitu kalau mahu buat perubahan? Dia ingat, dengan beritahu itu, Agong akan terus pilih PM baru? Takkan macam tu kiraan dia. Dia sepatutnya beritahu Agong yang dia dan kumpulannya dah ada calon baru yang dah ada majoriti untuk gantikan PM, barulah ‘strong’ (tindakan Zahid ni), ini tak, macam main-main dengan istana pula,” jawab salah seorang pakcik senior.

Memang ada keganjilan keputusan politik Zahid ini.

Barisan yang bersama beliau terdiri daripada mereka yang ada kes di mahkamah. Ini menimbulkan lebih banyak syak kepada rakyat khususnya penyokong Umno tentang hajat sebenar penarikan sokongan mereka kepada PM.

Barang diingat, ahli-ahli Umno kini bukan lagi seperti lembu dicucuk hidung, mereka semakin bijak dan kritikal. Buktinya, ramai ahli Umno telah menyertai PPBM dan pada pilihan raya umum yang lalu, lebih 30% ahli Umno tidak lagi mengundi parti itu.

Kita juga telah mendengar perbualan antara Zahid dan gurunya.
Sehingga kini Zahid tak pernah nafikan perbualan itu. Maka ahli-ahli Umno yang berpengalaman ini merasa seolah dipermain-mainkan olehnya.

Saya percaya ahli-ahli Umno sudah reda dan menerima bahawa mereka harus bekerjasama dengan kerajaan bukan untuk survival politik sahaja tetapi untuk kestabilan negara ketika berdepan dengan ancaman pandemik ini.

Pokoknya sekarang, ke mana Zahid mahu bawa Umno selepas ini? Adakah mahu bersama dengan Anwar Ibrahim dan DAP? Keganjilan ini akan terjawab sedikit masa lagi.

Jangan lupa PM ada menyebut, ada pihak yang sedang menangguk di air yang sedang keruh. Siapa mereka itu?

Abdullah Salim adalah pembaca MalaysiaNow.