- Iklan -
Rencana

Parlimen hibrid idea bernas, sesuai perkembangan teknologi semasa

Parlimen hibrid dilihat sesuai dengan pandemik Covid-19 yang masih lagi berada pada tahap yang membimbangkan

Mohd. Noor Yazid
4 minit bacaan
Kongsi
Sidang Parlimen ditangguhkan sejak Januari lalu selepas darurat diisytiharkan ekoran angka jangkitan Covid-19 yang naik mendadak.
Sidang Parlimen ditangguhkan sejak Januari lalu selepas darurat diisytiharkan ekoran angka jangkitan Covid-19 yang naik mendadak.

Parlimen hibrid adalah satu idea bernas dan sesuai dengan perkembangan sosio-ekonomi, politik dan teknologi semasa yang sedang berlaku kerana ahli Parlimen mesti memainkan peranan dalam menyelesaikan isu dan persoalan yang sedang dialami negara bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat diatasi dan dalam keadaan keselamatan mereka sendiri terjaga.

Parlimen hibrid, iaitu sebahagian hadir secara fizikal dan sebahagian secara maya, wajar diamalkan dalam suasana sekarang. Ianya boleh dilakukan selagi tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh undang-undang dan perlembagaan negara. Apa yang penting adalah Parlimen berjalan dan isu serta permasalahan negara dapat diselesaikan dengan baik.

Parlimen hibrid dilihat sesuai dengan pandemik Covid-19 yang masih lagi berada pada tahap yang membimbangkan. Kes baru Covid-19 masih tinggi iaitu berada pada sekitar 5,000 kes baru setiap hari. Walaupun ianya menurun kurang daripada 5,000 tetapi penurunan secara berterusan belum berlaku dan tidak meyakinkan bahawa kes akan turun secara drastik. Kita masih memerlukan beberapa tempoh masa bagi mempastikan kes menurun dengan konstan.

Parlimen hibrid dapat dilihat selaras dengan usaha memerangi Covid-19. Jumlah ahli parlimen yang akan berada di Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah dalam bilangan yang kecil berbanding dengan parlimen secara fizikal sepenuhnya. Ini adalah satu langkah yang bijak bagi mengurangkan penularan jangkitan Covid-19.

Ahli Parlimen hanya perlu berada di kawasan masing-masing, mengadap komputer dengan bebas memberikan pendapat dan pandangan secara terbuka. Idea dapat dikongsi dan dibahas secara bebas tanpa halangan. Dengan kemudahan teknologi semasa masing-masing ahli Parlimen berada di pejabat/kediaman masing-masing di seluruh negara.

Parlimen secara hibrid ini bukan sahaja dapat memberikan kesan yang baik kepada pencegahan penularan, tetapi juga boleh memberikan kesan yang besar kepada penjimatan kos. Kos pengangkutan dan penginapan ahli Parlimen dapat dijimatkan. Bayangkan angka mudah kalau RM10,000 bagi seorang ahli Parlimen, berapa kosnya dengan 200 orang ahli Parlimen.

Apa yang lebih penting yang perlu diketengahkan dalam sidang Parlimen adalah persoalan dan permasalahan utama yang sedang dihadapi oleh rakyat dan negara sekarang, iaitu masalah pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi negara yang sukar, dapat dicari cara untuk diatasi.

Semestinya dalam seramai 220 orang ahli Parlimen akan ada idea bernas yang dapat dibincangkan bersama bagi mencari jalan agar angka sekitar 5,000 sehari (dan angka kematian yang agak besar setiap hari) dapat dicari jalan keluar.

Seperti dinyatakan oleh Raja-Raja Melayu, nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain, sebab itulah mereka menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri segera bersidang.

Atas semangat ini juga, Raja-Raja Melayu menyarankan supaya kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus Covid-19 wajar diperkenan dan diterima pakai di negara ini.

Raja-Raja Melayu pasti sedar bahawa walaupun kita hanya ada 220 orang ahli parlimen sahaja tetapi setiap satu persidangan Parlimen melibatkan bilangan lebih ramai daripada itu kerana melibatkan pegawai-pegawai Parlimen, pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri, pegawai-pegawai keselamatan dan kakitangan-kakitangan kerajaan lain.

Ini berbeza berbanding persidangan Dewan Undangan Negeri yang melibatkan bilangan jauh lebih kecil yang memungkinkan untuk ia dilaksanakan secara fizikal untuk sesetengah negeri kecil walaupun persidangan hibrid lebih sesuai untuk negeri besar.

Adalah dicadangkan supaya satu Peraturan Mesyuarat Dewan untuk perlaksanaan persidangan hibrid diluluskan segera oleh Jawatankuasa Khas Persidangan Hibrid dan diseragamkan penggunaannya untuk persidangan Dewan Undangan Negeri.

Menyedari proses dan prosedur yang diperlukan untuk membuat persiapan terperinci bagi perlaksanaan persidangan hibrid maka pengumuman Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai tempoh masa diperlukan wajar diterima baik.

Adalah sesuatu yang tidak wajar untuk mana-mana pihak mempertikaikan keprihatinan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara terhadap soal peraturan Dewan dan keselamatan mereka yang terlibat dalam persidangan sebagai usaha melambatkan persidangan.

Dalam masa yang sama semua ahli parlimen jangan menimbulkan konflik baru politik yang tidak berkesudahan kerana jika ini dibangkitkan maka akan menimbulkan kesan yang buruk kepada ekonomi dan galakan kepada pelabur asing.

Tumpuan harus diberikan kepada masalah yang sedang dihadapi rakyat dan negara. Andai kata persoalan kepada pembentukan kerajaan baru berlaku, ia pasti akan memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi dan pelaburan asing. Elakkan pertembungan antara parti-parti politik kerajaan dan pembangkang dan juga di kalangan sama-ama parti politik kerajaan.

Buat masa ini persoalan percaturan dan penyusunan semula kuasa politik pemerintah-pembangkang mesti diketepikan. Tumpuan mesti diberikan kepada masalah pandemik Covid-19 yang belum selesai dan usaha membina kestabilan, kemakmuran dan peluang ekonomi yang lebih baik bagi seluruh rakyat.

Adalah tidak wajar ahli-ahli politik bercakaran membentuk percaturan baru sedangkan bilangan pesakit Covid-19 semakin bertambah, dan mereka yang sedang bertembung menentukan hidup-mati di katil-katil wad kecemasan semakin besar jumlahnya, doktor dan jururawat lelah tanpa cukup rehat merawat pesakit yang tenat.

Ungkapan YDPA pada 16 Jun lalu supaya parlimem bersidang segera adalah bagi menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Jauh sekali daripada membuka ruang kepada percaturan kuasa politik baru yang haru-biru dan membimbangkan.

Dengan kemudahan teknologi yang ada, parlimen secara hibrid adalah suatu kaedah yang sangat wajar. Cara persidangan hanya proses, parlimen secara hibrid adalah dicadangkan oleh Raja-Raja Melayu sendiri. Jangan pertikaikan proses, pentingkanlah matlamatnya.

Mohd. Noor Yazid adalah pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow