- Iklan -
Rencana

Mahathir dalam gerhana

Penolakan PH terhadap cadangan Mahathir untuk mewujudkan Mageran menunjukkan bekas perdana menteri itu sudah tidak lagi bernilai pada pandangan gabungan itu.

Kamarazaman Yacob
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Saya bersetuju dengan Mazlan Ali dari UTM, Dr Mahathir Mohamad sedang berada dalam “kegerhanaan”.

Menggelepar mencari lorong keluar dari kegelapan.

Beliau terperangkap dalam gua gelap, bila terjerlus kerana tidak meneruskan rencana Langkah Sheraton.

Difahamkan beliau tersasar dalam menghitung langkah, kerana dipengaruhi anak-anaknya.

Kononnya, Mahathir tidak boleh bersama “orang kotor” di dalam Umno.

Anak-anak Mahathir nampak hanya orang Umno sahaja yang kotor. Mengapa jadi begitu?

Iya, mereka tidak nampak kekotoran mereka bersama bapanya, kerana mereka berada di gaung kekotoran.

Kalaupun tidak di kolam najis (Arwah Fadhil Nor, memperli Anwar Ibrahim berada di dalam tong najis, semasa bersama Umno).

Jelas Mahathir, bukan sahaja sudah tidak berpengaruh.

Malah pengaruhnya, sudah hilang sama sekali.

Penolakan Pakatan Harapan (PH) terhadap lontaran Mahathir untuk mewujudkan Mageran menunjukkan bekas perdana menteri itu sudah tidak bernilai pada pandangan gabungan itu.

Mahathir tidak lagi mampu mencorakkan politik nasional.

Beliau sudah terpinggir dan dipinggirkan.

Atas sebab itulah, beliau terkial-kial mengemis supaya parti Pejuang diluluskan oleh Pandaftar Pertubuhan (RoS).

Sewajarnya Pejuang diluluskan.

Sekurang-kurangnya dapat melihat calon-calon Pejuang hilang deposit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bukan mendahului Allah, tapi berpandukan Sunatullah dalam politik.

Taring politik Mahathir tercabut lagi patah selepas Langkah Sheraton.

Malah saki-baki pengaruhnya lebur berderai selepas beliau tertendang keluar dari Bersatu.

Lebih malang lagi, bila Syed Saddiq Abdul Rahman dan Dr Maszlee Malik meninggalkan gerombolan Mahathir.

Sekarang, Mahathir seperti Lebai Malang.

Berkayuh ke hulu, air surut. Berkayuh ke hilir air pasang.

Apa tidaknya, bila Yang di-Pertuan Agong menjemput pemimpin-pemimpin politik mengadap. Beliau menyuarakan tentang Mageran.

Dan ramai mengatakan, beliau memberi gambaran seolah-olah dirinya adalah calon yang paling layak.

Beliau cuba menyakinkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dirinya dewa penyelamat buat Malaysia.

Kononnya, beliau mampu mengatasi masalah Covid-19.

Mampu mengatasi masalah ekonomi. Mampu membawa masuk pelabur asing.

Mampu mengatasi persekolahan anak-anak di semua peringkat.

Mampu mengatasi masalah sosial yang bertimbun-tambah.

Akhirnya, Si Lebai Malang, Mahathir dapat dihidu oleh pemain politik dan rakyat, sebagai seorang gila kuasa.

Bermacam-macam jenama, dijenamakan kepada Si Lebai Malang ini, oleh anak muda di dunia siber.

Mahathir begitu yakin. Kononnya kejatuhan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 lepas adalah faktor dirinya.

Sebenarnya, sumbangan Mahathir tidak seberapa kalau dibandingkan dengan kerja-kerja keras yang dilakukan oleh PKR, DAP dan Amanah.

Gelombang kebangkitan rakyat bermula sejak PRU 2008, PRU 2013.

Jauh lebih awal dari penglibatan Mahathir. Beliau hadir, ketika kemarahan rakyat sudah di kemuncak.

Sebenarnya, Mahathir menuai ketika padi sudah masak.

Beliau mengutip laba dari titik peluh pemimpin PKR, DAP, Amanah dan rakyat.

Kamarazaman Yacob merupakan bekas aktivis mahasiswa 1970-an.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow