- Iklan -
Rencana

Perwakilan PAU 2020 perlu tolak usul putus hubungan dengan Bersatu

Penganalisis berkata sukar untuk Umno bertanding PRU15 sendirian dengan senario ketika ini.

Kamarul Zaman Yusoff
5 minit bacaan
Kongsi
Perhimpunan agung Umno esok dijangka hangat dengan pelbagai perbahasan.
Perhimpunan agung Umno esok dijangka hangat dengan pelbagai perbahasan.

Kamarul Zaman: Kita berikan ruang untuk setiap panelis membuat rumusan dengan memberikan nasihat kepada para perwakilan PAU 2020 ini: Apakah yang sepatutnya mereka lakukan dalam PAU ini dan secara lebih menyeluruh lagi dalam Umno itu sendiri bagi mengembalikan kekuatannya?

Apakah Umno boleh bersendirian ataupun perlu berunding dulu, bertelagah, bertikai, berebut kerusi dulu, sebelum buat keputusan tidak bekerjasama dengan Bersatu atau apakah Umno perlu memikirkan dengan serius untuk membuat jajaran baru?

Mohd Noor: Saya sebagai rumusannya mempunyai persamaan juga dengan apa yang diutarakan oleh Prof Siva tadi bahawa Umno perlu memikirkan sedalam-dalamnya sama ada dia bertanding secara bersendirian ataupun bekerjasama dengan Bersatu, PAS dan parti-parti yang menyertai Perikatan Nasional.

Dan saya dengan ikhlas berpendapat bahawa saya lebih bersetuju sekiranya Umno tidak bertanding secara bersendirian, tidak keluar daripada Perikatan Nasional, tetapi bersama-sama membentuk sebuah pakatan yang lebih kuat bersama dengan Bersatu, PAS dan juga parti-parti bukan Melayu di dalam Perikatan Nasional, Gerakan dan sebagainya.

Kerana apa? Saya melihat bahawa sekiranya Umno bertanding secara bersendirian saya berpendapat dengan senario yang berlaku sekarang saya rasa adalah sukar untuk Umno membentuk sebuah kerajaan seperti yang pernah berlaku sebelumnya.

Dan saya juga berpendapat bahawa sekiranya Umno membayangkan kerjasama, ini tidak ada satu kenyataan yang jelas tapi saya membayangkan, mungkin ini juga strategi Umno supaya tidak mendedahkan kerjasama dengan DAP, sensitiviti orang Melayu, tetapi sekiranya diandaikan kedudukan DAP itu tidak berubah dengan mendapat 42 kerusi Parlimen, satu angka yang agak besar dengan sedikit tambahan sahaja daripada Umno, dalam 70 campur sudah dapat 100 lebih mungkin boleh membentuk sebuah kerajaan saya rasa itu juga adalah andaian yang kurang tepat.

Ini kerana saya berpendapat bahawa dalam pilihan raya nanti kemungkinan besar kerusi yang dimiliki oleh DAP itu mungkin berubah sedikit walaupun tidak banyak. Saya rasa mungkin pengundi-pengundi Cina akan bergerak ke arah lain. Dan misalnya di Sabah satu daripada kerusi DAP yang menang itu bukan di kawasan majoriti Cina, kawasan Tenom, kawasan pendalaman, itu adalah pemberian atas dasar prinsip Pakatan Harapan. Dan 7 yang dimenangi di Sarawak juga tidak semuanya kawasan majoriti Cina, ada juga kawasan campuran.

Jadi saya rasa dengan kedudukan struktur 166 kerusi Parlimen di Semenanjung dan 25 di Sabah dan 31 di Sarawak, sekiranya Umno bertanding bersendirian di kawasan majoriti Melayu dia akan berlaku satu pertembungan yang dahsyat di antara Bersatu dan mungkin juga dengan Amanah di kawasan majoriti Melayu dan di kawasan campuran juga Umno akan bertanding mungkin PKR akan bertanding dan sekiranya kawasan Parlimen itu mempunyai kawasan campuran yang di mana besar jumlah pengundi bukan Melayu mengikut kecenderungan sekarang mungkin dia lebih memihak kepada Pakatan Harapan, maka akan berlaku kekalahan, sama ada Umno sendiri ataupun bagi pihak Bersatu atau PAS.

Jadi dalam konteks penyatuan Melayu Islam yang menjadi teras kepada kestabilan politik Malaysia sekiranya hasil yang dihasilkan melalui PRU15 adalah angka yang sama ataupun hampir sama dengan PRU14 maka kestabilan politik tidak berlaku kerana kita harus akui bahawa kestabilan politik Malaysia harus ada satu parti Melayu yang dominan yang menjadi teras dan parti-parti bukan Melayu sebagai sokongan bagi mengukuhkan.

Tapi sekiranya berlaku perpecahan yang jelas di antara parti-parti Melayu maka kestabilan politik tidak akan tercapai di Malaysia.

Dan apabila kestabilan politik tidak tercapai akan memberi kesan yang buruk kepada kestabilan ekonomi, sosial dan sebagainya yang akan memberi kesan bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi kepada keseluruhan penduduk Malaysia yang cintakan kesejahteraan dan kebahagiaan. Dan sekiranya berlaku perpecahan begitu maka kita akan menghadapi keadaan yang sama dengan pasca PRU 14 maka kita akan berada dalam keadaan yang tidak berpuas hati. Kita menunggu tetapi apakah yang kita tunggu itu?

Jadi saya rasa atas asas penyatuan, parti Melayu dominan harus menjadi teras dan sokongan parti-parti lain itu akan menjadi pelengkap, bukan sahaja sama ada kepada Perikatan Nasional ataupun Pakatan Harapan, kita tidak memihak, asalkan itu membawa kepada yang selaras prinsipnya dengan Perlembagaan Persekutuan harus menjadi dasar dan sekiranya kita dapat jelmakan kematangan politik kita kepada pakatan sistem dua parti tetapi teras dan asasnya adalah Perlembagaan Persekutuan adalah sesuatu yang baik.

Tetapi dalam keadaan sekarang saya rasa kerjasama Umno, Bersatu dan PAS itu adalah perlu dibentuk semula dengan prinsip yang tegas dan jelas dan dengan pembahagian-pembahagian yang adil.

Dan Umno tidak boleh lagi merasakan sebagaimana keadaan struktur politik sebelum PRU14, Mei 2018, kerana keadaan telah mula berubah. Sekarang ini satu struktur baru sedang terbina, siapakah parti dominan, jadi selepas PRU15 nanti kita akan dapat lihat.

Jadi kalaulah Umno masih beranggapan bahawa dia parti abang besar yang menguasai sebagaimana sebelumnya saya rasa andaian itu tidak begitu tepat, perlu diteliti sama-sama dan perwakilan Umno harus membuat keputusan yang benar-benar tepat demi kepentingan orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Kita tidak menafikan kepentingan bukan Melayu dan harus menerima kepentingan Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Insya Allah, PRU15 akan membina satu wadah yang membina kebaikan, kebahagiaan dan kesejahteraan bagi kita semua.

Kamarul Zaman: Dr Mohd. Noor, tetapi ini hanya akan berlaku sekiranya PAU 2020 ini membuat keputusan untuk menolak keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15, ya, apakah ini bermakna bahawa nasihat kepada para perwakilan Umno adalah untuk menolak usul bagi memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15?

Mohd Noor: Ya, dalam huraian yang agak panjang tadi, itulah rumusannya.

Jadi perwakilan harus menolak bahawa Umno bersendirian tidak bersama dengan Perikatan Nasional, harus bersama-sama membina wadah perjuangan yang sama, prinsip yang sama, bukan untuk kepentingan Umno, bukan untuk kepentingan PAS, bukan untuk kepentingan Bersatu, tetapi untuk kepentingan seluruh rakyat Melayu Islam khususnya tanpa mengenepikan kepentingan orang-orang bukan Melayu.

Ini kerana dengan kerjasama tiga parti utama itu dan tidak mengenepikan kepentingan Melayu dan parti-parti bukan Melayu maka kita akan berada dalam darjah kestabilan. Dan sekiranya parti politik tidak boleh membentuk kerjasama, dan saya berpesan kepada pengundi, undilah satu parti yang boleh membawa kepada kestabilan.

Tapi kalau boleh PAU ini buat keputusan yang seperti Dr Kamarul cakap itulah, kita jangan bersendirian, bentuk kerjasama, tolak keputusan itu, kerana tidak memberi jaminan dan risikonya terlalu besar. Kalau ditakdirkan berlaku pertandingan tiga penjuru maka risiko yang diterima sama ada Umno, Bersatu atau PAS akan lebih besar.

Dan sekiranya kita lihat dalam PRU14 berapa banyak kerusi yang PAS bertanding Umno bertanding dan Pakatan Harapan di bawah PKR bertanding memihak kepada pihak yang bukan menang mutlak tetapi menang kerana perpecahan yang berlaku. Perpecahan itu tidak memberikan kemenangan mutlak kepada yang benar-benar dapat sokongan besar tetapi kerana perselisihan undi yang kecil. Itu yang mungkin berlaku.

Transkripsi ini adalah sebahagian webinar Pintar 5: Perhimpunan Agung Umno 2021: Ke Mana Hala Tuju Umno? anjuran Pertubuhan Intelektual Negara yang dikendalikan moderator Dr. Kamarul Zaman, seorang pensyarah UUM. 

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.