- Iklan -
Rencana

Belanjawan 2021, satu pandangan yang dilupakan

Adakah ia satu belanjawan yang terbaik dan menyeluruh?

Andzarwir Zakaria
4 minit bacaan
Kongsi
Petugas barisan hadapan mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lepas, semasa waktu rehat ketika menjalankan sekatan jalan raya di Lebuh Sentosa di Putrajaya.
Petugas barisan hadapan mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lepas, semasa waktu rehat ketika menjalankan sekatan jalan raya di Lebuh Sentosa di Putrajaya.

Pembentangan belanjawan negara merupakan satu saat yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan bangsa.

Ini kerana, setiap kali belanjawan dibentang rakyat dapat mengetahui anggaran perbelanjaan dan perancangan kerajaan pada tahun mendatang.

Tidak kurang juga, beberapa peruntukan dan pemberian yang dapat mensejahterakan kehidupan rakyat.

Belanjawan 2021 telah selamat dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz pada 6 November di Dewan Rakyat.

Bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” belanjawan ini dilihat berfokuskan kepada empat perkara iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan, dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Berdasarkan belanjawan yang diumum, negara dianggarkan akan berbelanja sebanyak RM322.5 billion pada tahun depan di mana RM236.5 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, RM 69 bilion pula untuk perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion untuk perbelanjaan khas iaitu dana untuk mengekang pandemik Covid-19 serta RM2 billion sebagai simpanan luar jangka.

Menteri kewangan juga mengunjurkan defisit fiskal pada kadar 5.4% berbanding 6.0% pada tahun ini.

Ia dilihat sebagai belanjawan yang menyeluruh oleh sesetengah pihak di sebalik terdapat kritikan dan kecaman.

Dari sudut positifnya, belanjawan ini dilihat membantu masyarakat B40 untuk meneruskan kehidupan di dalam situasi pandemik yang mencabar ketika ini.

Ini dapat dibuktikan menerusi pengenalan insentif berupa Baucar Perlindungan Tenang berjumlah RM50  untuk produk termasuk takaful hayat dan perlindungan diri.

Selain itu, insentif Bantuan Sara Hidup (BSH) dilihat dijenamakan semula kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan kadarnya juga disemak semula bagi membolehkan golongan ini kekal menjalani kehidupan dalam keadaan yang selesa.

Kerajaan juga dijangka memperkenalkan Program Jaringan Prihatin iaitu program berupa kredit telekomunikasi sebanyak RM180 seorang bertujuan untuk langganan internet atau kos telefon bimbit.

Bagi memudahkan rakyat berbelanja, kerajaan juga menurunkan kadar cukai kepada 1 mata peratusan, menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan dan memudahkan proses permohonan bantuan bayaran balik kepada golongan M40 serta pengurangan kadar caruman KSWP pekerja dari 11% kepada 9%.

Ia dilihat sebagai belanjawan yang menyeluruh oleh sesetengah pihak di sebalik terdapat kritikan dan kecaman.

Penurunan kadar cukai pendapatan ini dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

Bagi menggalakkan rakyat bekerja dan mengurangkan kadar pengangguran, kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif antaranya program KPT-PACE iaitu graduan baru akan ditawarkan baucar sebanyak RM3,000 seorang bagi mengambil kursus sijil professional.

Pengambilan sijil profesional ini dilihat akan memberi daya tambah baharu serta kemahiran baharu kepada graduan universiti.

Selain itu, RM700 juta disediakan untuk melaksanakan program Mystep yang akan menyediakan peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan swasta.

Bagi memperkasa usahawan bumiputera pula, RM1.3 bilion dan RM750 juta disediakan untuk melaksanakan pelbagai program seperti pembangunan profesional, dana kemakmuran bumiputera dan bagi meningkatkan nilai pegangan usahawan bumiputera dalam sektor hartanah terutama melibatkan pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu.

Belanjawan itu juga dilihat menghargai jasa penjawat awam dan petugas barisan hadapan kerana berkhidmat untuk negara dalam situasi yang sukar ini.

Bantuan khas kewangan sebanyak RM600 disediakan kepada kakitangam awam gred 56 ke bawah serta bantuan khas sebanyak RM500 disediakan kepada petugas barisan hadapan (frontliners).

Diharapkan agar pengumuman ini dapat melegakan hati mereka sepanjang berkhidmat kepada negara.

Di sebalik pengumuman positif seperti yang disebut di atas, belanjawan ini juga dilihat tidak dapat mengelakkan kecaman dan kritikan dari semua pihak bermula dari ahli politik hinggalah ke mahasiswa.

Mahasiswa dilihat kurang senang dan kurang berpuas hati apabila bantuan seperti baucar buku dan beberapa inisiatif lain tidak kelihatan di dalam belanjawan kali ini.

Walaupun inisiatif pinjaman komputer riba disediakan, namun, ia disertai juga dengan faedah pinjaman sekaligus dilihat akan membebankan mahasiswa yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tahap kewangan yang minimum.

Beberapa pihak persatuan yang memperjuangkan mahasiswa juga turut mendesak kerajaan agar menyediakan bantuan capaian internet yang maksimum bagi membolehkan mereka melakukan pelajaran dengan selesa walau dalam keadaan jarak jauh dan secara dalam talian.

Pengenalan semula agensi propaganda kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan disertai dengan peruntukan yang lebih besar juga telah menjemput kecaman dan kritikan warga netizen dan ahli politik kepada pihak kerajaan.

Pewujudan semula agensi ini sewaktu pandemik melanda dilihat kurang sesuai ditambah pula dengan peruntukan sebanyak RM81 juta dilihat tidak munasabah.

Peranan Jasa juga dijangka akan bertindih dengan peranan jabatan sedia ada seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Sewaktu membahaskan belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meminta kerajaan agar mengkaji semula peruntukan ini dan hapuskan sajalah sekiranya boleh.

Pengeluaran caruman akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga merupakan satu perkara yang betul di dalam situasi sekarang, namun, pakar-pakar  ekonomi sebulat suara merasa bimbang dan ditakuti ia akan memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang kepada pencarum KWSP tersebut terutama untuk menghadapi hari-hari selepas bersara daripada perkhidmatan masing-masing.

Walaupun begitu, kita semua berharap agar perbahasan Belanjawan 2021 ini dapat dibahas secara saksama dan dapat menghasilkan keputusan yang tuntas kepada negara.

Segala peruntukan yang baik dan menyokong pertumbuhan semula negara wajar disokong semua pihak manakala peruntukan yang dilihat merapu dan tidak sepatutnya diadakan wajarlah ditolak semua pihak.

Belanjawan ini penting kerana ia belanjawan yang seharusnya memacu semula negara selepas terkesan dengan wabak dan pandemik covid-19.

Sekiranya ditanyakan kepada penulis, adakah ini belanjawan yang terbaik dan menyeluruh? Mengikut semua perkara yang diulas di atas, saya masih sangsi untuk menjawab YA.

Penulis merupakan penyelidik di Institut SHIELD, sebuah badan pemikir bebas yang memfokuskan kepada pembentukan dan penyelidikan dasar dan polisi.

* Tulisan ini merupakan pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.