- Iklan -
Berita

Suhakam digesa siasat salah guna institusi libatkan PM, SPRM dalam siasatan terhadap Daim

Aduan rasmi yang diserahkan kepada Suhakam menyenaraikan siri tindakan Anwar Ibrahim, SPRM dan polis yang didakwa tidak mengikut proses dan melanggar prinsip kedaulatan undang-undang.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Naimah Khalid, bersama peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal di pejabat Suhakam hari ini.
Naimah Khalid, bersama peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal di pejabat Suhakam hari ini.

Keluarga Allahyarham Daim Zainuddin hari ini menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk memulakan proses inkuiri selepas tiada tindakan susulan mengenai laporan terhadap Anwar Ibrahim di sebalik pelbagai siasatan melibatkan musuh politik perdana menteri.

Ia selang beberapa bulan selepas polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk tidak menyiasat laporan Bloomberg yang mendakwa Anwar mencampuri urusan SPRM.

Balu Daim, Na'imah Khalid, dalam laporan enam muka surat yang diserahkan kepada Suhakam, membutirkan pelbagai tindakan yang menurutnya menjejaskan institusi negara dan kedaulatan undang-undang, di samping ketiadaan tindakan terhadap aduan salah guna kuasa.

Beliau berkata campur tangan Suhakam diperlukan kerana apa yang berlaku melangkaui siri tindakan terhadap keluarganya.

"Ianya mengenai integriti institusi kita, kedaulatan undang-undang, dan hak setiap rakyat Malaysia," kata Na'imah ketika hadir di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur bersama peguamnya.

"Kedaulatan undang-undang tidak memberikan apa-apa makna sekiranya agensi penguatkuasa dikecualikan daripadanya. Tanpa akauntabiliti, kuasa dijadikan alat untuk penganiayaan, bukan perlindungan.

"Tidak seorang rakyat pun perlu merasakan bahawa keadilan tertakluk kepada kepentingan politik, dan bahawa kuasa kerajaan boleh digunakan tanpa pengawasan."

Peguam Rajesh Nagarajan berkata aduan disalurkan terus kepada Pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus, sambil menambah ia secara khusus merujuk kepada penyalahgunaan institusi yang dilakukan peguam negara, Pejabat Perdana Menteri dan SPRM.

"Terdapat salah guna kuasa yang meluas dan melulu oleh institusi dan badan berkanun di Malaysia, namun tiada sebarang tindakan terhadap badan ini.

"Sebagai langkah akhir, anak guam kami hadir membuat laporan kepada Suhakam dan mengharapkan isu ini dapat ditangani," katanya.

Beliau berkata Suhakam perlu melancarkan inkuiri berhubung dakwaan penyalahgunaan institusi.

"Suhakam sangat sesuai kerana menerusi sebuah inkuiri, saksi boleh disoal dalam mencari kebenaran."

Naimah dan arwah suaminya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta, dalam apa yang disifatkan pasangan itu sebagai serangan bermotifkan politik oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Daim Zainuddin yang kelihatan uzur, ketika hadir di mahkamah pada 29 Januari 2024.
Daim Zainuddin yang kelihatan uzur, ketika hadir di mahkamah pada 29 Januari 2024.

Daim, yang uzur dan beberapa kali dimasukkan ke hospital sebelum meninggal dunia pada November lalu, menjadi sasaran serangan Anwar yang menuduhnya mengumpul kekayaan secara haram, tuduhan yang kerap dilakukan oleh perdana menteri terhadap musuh politiknya.

Susulan kematiannya, Naimah berkata pihak pendakwaan perlu meneruskan perbicaraan kerana arwah suaminya ingin namanya dibersihkan dan seterusnya tuduhan Anwar dipatahkan dalam mahkamah.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon agar tuduhan terhadap Daim digugurkan.

Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan terhadap Daim akan tetap diteruskan.

Beberapa hari selepas beliau diberikan lanjutan tempoh perkhidmatan menerajui SPRM, Azam mengumumkan tindakan membekukan aset perniagaan Daim di luar negara, langkah yang diselar Na'imah sebagai bermotifkan politik dan dilakukan secara senyap tanpa membenarkan membela diri.

Tiada tindakan terhadap dakwaan salah guna kuasa

Aduan Na'imah kepada Suhakam hari ini tertumpu kepada laporan Bloomberg pada 25 Sept tahun lalu, di mana sumber SPRM dipetik sebagai berkata bahawa siasatan ke atas Daim dilancarkan Azam atas arahan Anwar.

bloomberg_Daim_sept26_2024Laporan Bloomberg yang terbit ketika siasatan SPRM terhadap Daim itu juga mendakwa Anwar telah mengarahkan Azam supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung kontroversi pembelian saham dalam sebuah syarikat yang menerima kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit.

Ia disusuli dengan Na'imah memfailkan laporan polis supaya menyiasat Anwar atas salah guna kuasa, kesalahan serupa yang pernah disabitkan terhadap ahli politik itu lebih dua dekad lalu.

Lapan bulan kemudian, ketiadaan sebarang kemas kini daripada polis mengenai status laporan itu menyebabkan Na'imah memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Polis kemudian memaklumkan Na'imah bahawa laporannya terhadap perdana menteri tidak akan disiasat.

Na'imah berkata beliau "dibiarkan tanpa sebarang saluran berkesan kepada badan yang bebas dan berkecuali apabila berhadapan dengan penyalahgunaan kuasa dan proses yang jelas oleh SPRM".

Na'imah Khalid.
Na'imah Khalid.

Beliau memberitahu Suhakam bahawa perdana menteri dan SPRM telah menafikan dakwaan yang terkandung dalam laporan Bloomberg "tanpa memberikan bukti yang kukuh atau membenarkan pemantauan bebas terhadap perkara ini".

"Atas alasan inilah saya kini merujuk kepada SUHAKAM yang mempunyai mandat statutori dan berada di kedudukan yang khusus untuk bertindak masuk campur, meneliti aduan ini, dan mengemukakan cadangan-cadangan yang sewajarnya yang perlu bagi memulihkan akauntabiliti serta melindungi rakyat daripada pelaksanaan kuasa negara tanpa kawalan.

"Tanpa reformasi, rakyat Malaysia terdedah kepada kuasa eksekutif yang tidak terkawal," tambahnya.

Menurut Na'imah, berbeza dengan agensi penguatkuasaan lain yang tertakluk kepada pemantauan luar seperti IPCC yang memantau pasukan polis, SPRM langsung tidak tertakluk kepada sebarang pemantauan bebas atau luaran.

"Aduan-aduan terhadap SPRM dirujuk kepada Sekretariatnya sendiri, dan akhirnya kepada Jawatankuasa Aduan yang berada dalam SPRM itu sendiri," tambahnya.

"Apabila aduan terhadap SPRM dilaporkan kembali kepada SPRM, ia mewujudkan mekanisme kawalan sendiri yang tidak bebas."

Beliau berkata tiada saluran bagi mana-mana pihak yang mempunyai "aduan yang sah terhadap SPRM" untuk mendapatkan penyelesaian.

Na'imah berkata tindakan terhadap diri dan keluarganya bukan sahaja mengakibatkan "kemudaratan peribadi yang serius, kerosakan reputasi dan tekanan emosi", ia juga mengancam reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang komited kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Beliau menggesa Suhakam menyiasat dakwaan campur tangan politik oleh perdana menteri dalam keputusan operasi SPRM, dan sama ada Jabatan Peguam Negara mengendalikan laporan polisnya dengan telus dan tidak berpihak, di samping mematuhi proses wajar.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.