- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Selepas amaran terhadap peminjam PTPTN yang gagal bayar, perhatian tertumpu kepada PH

Isu mengenai tabung pinjaman pendidikan itu dilihat salah satu daripada siri kegagalan PH melaksanakan dasar yang diperjuangkan dulu.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Kempen Adam Adli pada 2012 untuk memansuhkan hutang PTPTN mendapat sokongan kuat pemimpin Pakatan Harapan, di mana gabungan itu menjadikan isu itu sebahagian daripada manifesto dalam pilihan raya umum berikutnya.
Kempen Adam Adli pada 2012 untuk memansuhkan hutang PTPTN mendapat sokongan kuat pemimpin Pakatan Harapan, di mana gabungan itu menjadikan isu itu sebahagian daripada manifesto dalam pilihan raya umum berikutnya.

Kekecewaan diluahkan seorang menteri baru-baru ini kepada peminjam yang gagal membayar balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat mencetuskan reaksi negatif kepada kerajaan, khususnya terhadap Pakatan Harapan (PH) diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di sebalik pelbagai janji dan dasar gabungan itu yang tidak dilaksanakan.

Minggu lalu, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir menyelar sikap 430,000 peminjam yang langsung tidak membuat bayaran balik, sambil berkata keadaan itu menyukarkan pemberian pinjaman kepada pelajar lain.

Jumlah hutang kumpulan ini berjumlah RM6 bilion, daripada RM40 bilion yang masih terhutang kepada dana itu.

Zambry berkata ramai daripada mereka yang ingkar membayar balik sudah menamatkan pengajian selama beberapa dekad.

"Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula)," kata Zambry.

Ramai dalam kalangan kumpulan bermasalah itu menamatkan pengajian pada masa sama PH memacu kempen besar-besaran menekan kerajaan Barisan Nasional (BN) menghapuskan pinjaman PTPTN.

Pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak ketika itu mengumumkan pelbagai kelonggaran termasuk rebat untuk pelajar berprestasi tinggi serta insentif lain untuk menggalakkan peminjam membayar balik.

Tidak memeranjatkan apabila beberapa komen di media sosial melihat kenyataan Zambry secara tidak langsung cuba membawa balik ingatan ramai kepada beberapa watak yang mendalangi kempen PH itu, sehingga ia menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya gabungan itu.

PH antara lain berjanji membatalkan senarai hitam perjalanan ke atas peminjam ingkar, di samping membenarkan tempoh pembayaran balik lebih panjang yang mengambil kira pendapatan semasa mereka.

Watak paling penting dalam kempen menghapuskan pinjaman PTPTN ialah Adam Adli Abdul Halim, kini timbalan menteri belia dan sukan.

Pada April 2012, beliau dan sekumpulan pelajar mendirikan khemah di Dataran Merdeka dalam usaha menggesa kerajaan memastikan pendidikan tinggi disediakan percuma kepada semua rakyat.

Bantahan Adam itu menerima sokongan penuh pemimpin PKR.

Ia turut mendapat perhatian orang ramai kerana pembayaran balik pinjaman pelajar ialah isu yang dekat di hati jutaan rakyat Malaysia yang pendidikan mereka dibiayai PTPTN.

Isu itu turut menjadi tajuk debat antara ketua Pemuda Umno ketika itu, Khairy Jamaluddin dan pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli.

Tahun berikutnya, populariti Adam semakin meningkat apabila beliau digantung dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas ucapannya yang mengundang pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Pada 2019, setahun selepas PH mengambil alih kuasa, pentadbiran ketika itu dilihat menyesal dengan tindakannya menarik balik larangan perjalanan ke atas kira-kira 400,000 peminjam.

Ia sekaligus memberikan suntikan semangat kepada Umno, ketika itu pembangkang, yang selama ini bertungkus-lumus cuba menjelaskan mengapa pemansuhan hutang PTPTN adalah sesuatu yang mustahil dilaksanakan.

Perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, juga membidas peminjam PTPTN yang gagal membayar balik, menyifatkan mereka "tidak malu".

Pemimpin mahasiswa Imran Sulaiman berkata tanggungjawab atas beban hutang yang ditanggung PTPTN perlu dipikul oleh beberapa pemimpin kerajaan sekarang yang satu masa dulu giat berkempen untuk memansuhkan PTPTN.

"Kami tegaskan bahawa Adam Ali yang dulu menjadi tokoh dan tokoh perjuangan kepada mahasiswa sehingga digantung pelajarannya, perlu membuktikan kejayaannya yang dahulu, bukan retorik semata-mata dan bukan sekadar wayang kepada anak muda untuk undi mereka," Imran, presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, memberitahu MalaysiaNow.

Imran berkata Adam harus memberikan penyelesaian kepada masalah itu, sambil menambah beliau tidak boleh mendakwa tiada kaitan dengan apa yang menimpa PTPTN.

"Kalau digantung belajar selama bertahun pun berani dihadapnya, apakan sangat birokrasi PTPTN yang bila-bila masa sahaja boleh diubah polisinya," katanya.

MalaysiaNow telah menghubungi Adam untuk mendapatkan respon.

Penganalisis ekonomi Amanda Yeo berkata kempen pemimpin PH pada masa lalu untuk menghapuskan pinjaman PTPTN hanya melahirkan harapan palsu.

"Janji-janji pendidikan percuma oleh pembangkang ketika itu mungkin memberi jangkaan yang tidak realistik kepada peminjam bahawa hutang mereka akan dihapuskan atau dikurangkan.

"Harapan palsu ini berkemungkinan menyebabkan sikap tidak acuh, kerana ramai peminjam menganggap mereka tidak perlu membayar balik pinjaman mereka," katanya.

Yeo mengakui kesukaran yang dihadapi Anwar dalam memenuhi janji, disebabkan penyertaan pelbagai parti politik yang membentuk gabungan kerajaan.

"BN misalnya, tidak pernah bercakap mengenai pemansuhan pinjaman PTPTN," katanya.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula beranggapan kerajaan wajib memastikan rakyat Malaysia diberikan akses kepada pendidikan tanpa beban kewangan.

"Pendekatan neoliberal dalam dasar pendidikan tinggi bukanlah sesuatu yang lestari. Tanggungjawab moral adalah pada negara untuk memberikan peluang pendidikan tinggi kepada rakyat tanpa membebankan kerana rakyat inilah yang akan menyumbang semula kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat," katanya.

Beliau menggesa kerajaan berusaha ke arah membatalkan hutang pelajar.

Yeo pula mencadangkan institusi pengajian tinggi untuk memperkenalkan pembayaran balik berasaskan pendapatan bagi graduan baharu.

"Pembayaran balik terikat dengan pendapatan peminjam, menjadikannya lebih mudah bagi mereka memenuhi kewajiban tanpa tekanan kewangan tambahan. Apabila pendapatan mereka meningkat sebanyak 10-15% dalam tempoh satu hingga dua tahun, jumlah pembayaran balik boleh meningkat secara beransur-ansur sebanyak 5-10%.

"Bagi mereka yang terbeban dengan pinjaman lain, PTPTN boleh bekerjasama dengan bank untuk menawarkan pelan penyatuan hutang. Program ini akan menggabungkan pinjaman kepada satu pembayaran bulanan yang lebih terurus, dan mungkin dengan kadar faedah yang lebih rendah, memudahkan proses pembayaran balik mereka," katanya.

PTPTN pada masa ini mengecualikan pembayaran balik kepada peminjam yang berjaya memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.

Ia juga menawarkan penangguhan pembayaran kepada peminjam yang tiada pendapatan atau masih melanjutkan pengajian sepenuh masa.

Peminjam juga boleh menstruktur semula hutang mereka mengikut kemampuan, dengan tempoh pembayaran balik dilanjutkan sehingga umur 60 tahun, di samping ansuran bulanan minimum yang dikira berdasarkan 5% hingga 8% daripada pendapatan kasar.