- Iklan -
Berita

Pemborong, pembekal umum kenaikan harga selepas Putrajaya batal subsidi pukal diesel

Peningkatan kos pengangkutan sehingga 25% menyebabkan peniaga terpaksa membuat 'keputusan sukar'.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Harga diesel di Semenanjung Malaysia melonjak kepada RM3.35, tertinggi dalam sejarah, sejak pembatalan subsidi pukal untuk bahan api tersebut oleh kerajaan.
Harga diesel di Semenanjung Malaysia melonjak kepada RM3.35, tertinggi dalam sejarah, sejak pembatalan subsidi pukal untuk bahan api tersebut oleh kerajaan.

Seperti dijangka, pemilik perniagaan sudah pun mula menaikkan harga barangan ekoran keputusan kerajaan membatalkan subsidi pukal diesel yang menyaksikan lonjakan kadar seliter daripada RM2.15 kepada RM3.35 sejak semalam.

Beberapa syarikat pembekal besar dihubungi MalaysiaNow berkata walaupun dengan pemberian subsidi bersasar, ia masih tidak mencukupi untuk menjamin harga barang dan perkhidmatan mereka dapat dikekalkan.

Semalam, iaitu hari pertama kenaikan harga diesel, beberapa syarikat mengeluarkan notis kepada pelanggan dan orang awam mengenai kenaikan harga barang.

Sebuah syarikat pembekal barangan konkrit dan simen beroperasi di Kuantan berkata pihaknya menjangkakan peningkatan kos dan memutuskan untuk menaikkan sebanyak RM12 bagi penghantaran setiap meter padu simen bancuh bagi jarak tidak melebihi 30km.

“Bagi jarak melebihi 30km, caj tambahan akan dikenakan," menurut notis dikeluarkan LCS Marketing Sdn Bhd yang beroperasi dari Pahang.

"Kami akan menyemak semula sebut harga dengan sewajarnya dan kami berharap anda memahami faktor ini di luar kawalan kami dan kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan."

Sementara sebuah syarikat pemborong barangan perkakasan (hardware) di Kuala Lumpur, Chuan Soon Heng Sdn Bhd, berkata ia terpaksa menaikkan harga barangan disebabkan syarikat yang menyediakan khidmat pengangkutan lori menaikkan caj sebanyak 25%.

Syarikat itu berkata keputusan itu disebabkan pemotongan subsidi diesel oleh kerajaan. 

"Selepas menyemak dengan teliti peningkatan kos pengangkutan, penghantaran dan produk, kami perlu membuat keputusan yang sukar untuk menaikkan harga semua produk dan caj pengangkutan juga akan disemak semula."

Seorang jurucakap syarikat berkata notis dikeluarkan supaya pembeli dimaklumkan awal dan tidak terkejut apabila harga baru dilaksanakan.

Langkah kerajaan membatalkan terus subsidi pukal untuk diesel mengundang reaksi marah pelbagai pihak, dengan media sosial dibanjiri pelbagai hantaran yang mempersoalkan keputusan yang dijangka akan menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.

Ramai beranggapan Putrajaya sepatutnya melaksanakan pembatalan subsidi pukal secara berperingkat.

Harga minyak menjadi bualan ramai disebabkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan sebelum ini berkempen selama berdekad dengan janji menurunkan harga minyak melalui pemindahan keuntungan hasil petroleum negara kepada rakyat.

Sementara itu, seorang peniaga alat ganti kenderaan di Johor Bharu menyifatkan dirinya "tidak bertuah" kerana kenaikan mendadak diesel itu berlaku hanya lima bulan selepas perniagaannya dimulakan.

Alif Izuan, 34, berkata dia berdepan risiko peningkatan kos logistik dari pembekal dan turut akan mengkaji semula harga barangan di kedainya. 

"Masih ada alat ganti yang dah dibeli awal tahun dalam stok.  

"Tetapi harga baru untuk pesanan yang kita akan hantar esok lusa, sudah tentu naik. Kita pula kena bayar kos lebih sebab pembekal yang guna diesel nak hantar barang ke sini pakai lori," katanya kepada MalaysiaNow. 

Katanya, peniaga tidak sewenang-wenang mahu mencari keuntungan mudah.

"Bila harga naik bukan kami naikkan untung. 

"Jika kos meningkat harga tak naik, kami rugi. Mana ada orang meniaga macam tu?"