- Iklan -
Berita

Penduduk dakwa 'samseng' sertai operasi roboh rumah untuk projek kondo di Gombak

Sekumpulan lelaki memakai vest hijau dilihat bersama-sama pihak penguatkuasa yang merempuh rumah penduduk di Kampung Sri Makmur.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Keadaan tegang di Kampung Sri Makmur di Gombak sebelum penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang merobohkan rumah penduduk. Gambar: PSM
Keadaan tegang di Kampung Sri Makmur di Gombak sebelum penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang merobohkan rumah penduduk. Gambar: PSM

Polis digesa menyiasat tindakan pihak berkuasa menggunakan kekerasan termasuk penglibatan kumpulan samseng ketika operasi merobohkan rumah penduduk di Kampung Sri Makmur, Gombak semalam.

Dalam satu laporan polis dibuat wakil penduduk Mohamad Azhar Ariff, pihak berkuasa didakwa menggunakan kekerasan dengan cara merempuh penduduk yang mempertahankan kediaman mereka. 

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun hampir dipijak.

"Kami dapati semasa rempuhan tersebut terdapat sekumpulan lelaki yang memakai vest hijau telah bersama-sama pihak berkuasa merempuh kami. 

"Kami percaya lelaki yang memakai vest hijau bukanlah pihak polis," katanya dalam laporan polis yang dilihat MalaysiaNow. 

Penduduk Kampung Sri Makmur mengadakan tunjuk perasaan di luar pejabat setiausaha kerajaan negeri di Shah Alam pada Ogos 2023.
Penduduk Kampung Sri Makmur mengadakan tunjuk perasaan di luar pejabat setiausaha kerajaan negeri di Shah Alam pada Ogos 2023.

Azhar berkata penguatkuasa merempuh penduduk itu sewaktu rundingan akhir dengan wakil pemaju masih sedang dijalankan. 

Sebuah klip video tular menunjukkan suasana kecoh yang berlaku ketika penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang merobohkan perkampungan itu.

Menurut laporan, sembilan keluarga yang merupakan penduduk asal dan sudah lama menetap di situ diarahkan berpindah bagi membolehkan kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan. 

Ia bertujuan untuk memberi laluan kepada pembinaan dan pembangunan kondominium oleh sebuah pemaju swasta dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Azhar mempersoalkan kerajaan Selangor dan juga anggota polis yang menurutnya tidak berbuat apa-apa ketika kekerasan digunakan untuk mengusir penduduk kampung itu. 

"Ianya seolah-olah kerajaan negeri Selangor membiarkan gangterisme digunakan bagi membolehkan pihak pemaju dan PKNS dapat merobohkan perkampungan kami," katanya.