- Iklan -
Berita

Banyak syarikat lain, kata Adun gesa Selangor batal kontrak syarikat suami Hannah Yeoh

Hilman Idham berkata banyak lagi syarikat e-hailing malah Prasarana mampu melaksanakan perkhidmatan DRT.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kontroversi membabitkan sebuah syarikat diasaskan suami pemimpin DAP Hannah Yeoh adalah yang terbaru dalam siri pelantikan kerajaan yang didakwa membabitkan amalan kronisme.
Kontroversi membabitkan sebuah syarikat diasaskan suami pemimpin DAP Hannah Yeoh adalah yang terbaru dalam siri pelantikan kerajaan yang didakwa membabitkan amalan kronisme.

Seorang Adun Perikatan Nasional menggesa kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan menilai semula model pelaksanaan perkhidmatan transit responsif atas permintaan (DRT) dan membatalkan kontrak sedia, susulan kontroversi melibatkan suami seorang menteri dan pemimpin DAP diberikan kontrak tanpa melalui tender terbuka. 

Adun Gombak Setia Hilman Idham berkata kerajaan negeri seharusnya mengambil iktibar daripada kontroversi terdahulu seperti isu melibatkan aplikasi Selangkah dan Skim Insurans INSAN yang mengganggu kepentingan rakyat. 

"Kerajaan negeri juga perlu bersedia untuk mendedahkan butiran kontrak bagi pelaksanaan projek DRT bersama kedua-dua syarikat yang dilantik.

"Ini kerana pelantikan kedua-dua syarikat ini secara eksklusif, kini
menimbulkan pelbagai persoalan termasuklah berapa jumlah pelaburan kerajaan negeri, apakah model perniagaan serta berapa jumlah pulangan kepada kerajaan negeri?" 

Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, syarikat diasaskan Ramachandran Muniandy - suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh -  bersama pengasas portal pro-PH Malaysiakini, Premesh Chandran, merupakan antara dua syarikat dilantik kerajaan Selangor untuk menyediakan perkhidmatan DRT di empat daerah di bawah program Mobiliti Selangor.

Perkembangan itu dilihat sebagai episod terbaru dalam siri pelantikan PH di peringkat negeri dan persekutuan yang didakwa berlaku amalan kronisme.

Adun Gombak Setia Hilman Idham. Gambar: Facebook
Adun Gombak Setia Hilman Idham. Gambar: Facebook

Hilman berkata isu utama dalam kontroversi itu adalah mengapa kerajaan negeri tidak melaksana tender terbuka dalam pelantikan syarikat perkhidmatan DRT tersebut. 

Menurutnya, DRT, iaitu perkhidmatan yang bertindak sebagai "feeder" kepada aliran pengangkutan awam, bukan sesuatu yang asing memandangkan terdapat pelbagai syarikat e-hailing yang sedang beroperasi dengan baik menggunakan aplikasi.

"Saya yakin, pelbagai syarikat e-hailing yang sedang beroperasi seperti Grab, AirAsia Ride, Maxim bahkan syarikat pengangkutan awam sedia ada seperti Prasarana juga mampu mendapatkan lesen dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi pelaksanaan perkhidmatan DRT. 

"Justeru, kejayaan dan pengalaman melaksanakan 'bukti konsep' sahaja tidak mencukupi untuk mengabsahkan pelantikan kerajaan negeri kepada syarikat yang dilantik," katanya.