- Iklan -
Berita

Lee disoal siasat polis berhubung petik ayat al-Quran

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu memberikan keterangannya kepada polis mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How. Gambar: Bernama

Polis mengesahkan merakam percakapan Howard Lee Chuan How hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menghina agama Islam dengan mentafsir sendiri ayat al-Quran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata rakaman percakapan Lee diambil pada 3 petang di Ipoh, Perak mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Shuhaily menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak selain tidak menyalahi undang-undang berkaitan isu 3R (kaum, agama dan raja) ketika menggunakan platform itu.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Terdahulu, Lee memohon maaf secara terbuka atas tindakan beliau memetik ayat al-Quran dalam satu video di laman media sosialnya baru-baru ini.

Ahli politik itu berkata beliau sama sekali tidak berniat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam malah menyambut baik saranan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berhubung perkara tersebut.

Pada Jumaat lepas, Shuhaily berkata pihaknya akan merekod keterangan Lee dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata laporan asal atau laporan pertama kes itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Badan bukan kerajaan iaitu Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak turut membuat laporan berhubung isu sama pada Khamis lepas.