- Iklan -
Berita

Anis Rizana dilantik sebagai ketua pengarah Kastam

Beliau adalah wanita pertama yang dilantik ke jawatan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pelantikan Anis Rizana Mohd Zainudin sebagai ketua pengarah Kastam berkuat kuasa hari ini. Gambar: Facebook
Pelantikan Anis Rizana Mohd Zainudin sebagai ketua pengarah Kastam berkuat kuasa hari ini. Gambar: Facebook

Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin melakar sejarah menjadi wanita pertama dilantik sebagai ketua pengarah Kastam yang berkuat kuasa hari ini. 

Anis Rizana, 54, sebelum ini adalah timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan dan pelantikan itu adalah bagi menggantikan Zazuli Johan yang bersara. 

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang mengumumkan pelantikan itu dalam kenyataan hari ini berkata Anis Rizana berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan import eksport, penyelidikan dan pembangunan dasar, ekonomi, pengurusan dan kewangan.

“Pelantikan ini merupakan kali pertama bagi seorang penjawat awam wanita menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Saya percaya dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki, Anis Rizana mampu menerajui agensi yang amat penting dalam pengutipan hasil kerajaan dengan cemerlang ke arah mencapai visi Malaysia MADANI,” kata Mohd Zuki. 

Anis Rizana  telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada 1994.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Western Michigan University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zazuli atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam terutamanya sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah JKDM.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi