- Iklan -
Berita

Dibidas wartawan veteran, SKMM cuba ajar portal berita tentang 'laporan tepat'

Mereka menggesa pengamal media untuk bekerjasama sepenuhnya berikutan keengganan MalaysiaNow menurunkan laporan mengenai kekecohan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Wartawan veteran A Kadir Jasin. Gambar: Facebook
Wartawan veteran A Kadir Jasin. Gambar: Facebook

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempertahankan ancamannya terhadap portal berita MalaysiaNow, menggesa media supaya mematuhi garis panduannya yang dikatakan akan membawa kepada “wacana yang lebih seimbang dan termaklum, bebas daripada sebarang manipulasi dan maklumat yang kurang tepat”.

Pada Rabu, SKMM yang di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital diterajui Fahmi Fadzil, memberi tempoh dua jam kepada MalaysiaNow untuk menurunkan laporan beritanya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga ahli Parlimen Tambun melemparkan tuduhan terhadap wakil rakyat Perikatan Nasional Radzi Jidin. 

Menurut SKMM, ia “tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan” sambil menambah bahawa tajuknya “tidak sopan, penghinaan, atau jelik”, merujuk kepada perkataan "Tambun peliwat" yang diungkapkan oleh Radzi. 

Radzi membangkitkan sabitan lalu Anwar kerana meliwat selepas beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan speaker tiada salahnya Anwar membuat tuduhan jika beliau yakin dengannya.

MalaysiaNow enggan memenuhi tuntutan SKMM, dengan berkata ia tidak akan tunduk kepada tekanan dalam menjalankan tugas kewartawanannya. 

Amaran SKMM itu dikritik oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, yang berkata MalaysiaNow melaporkan perkara yang benar, dan mempersoalkan sama ada suruhanjaya itu mahu portal berita itu melaporkan berita palsu. 

Awal hari ini, wartawan veteran A Kadir Jasin berkata beliau mengajukan soalan kepada pegawai SKMM adakah menjadi satu kesalahan bercakap mengenai kes mahkamah sebelum ini membabitkan perdana menteri, tetapi beliau tidak mendapat jawapan yang jelas.

"Setelah 10 bulan memerintah, tindak-tanduk sesetengah pemimpin kerajaan perpaduan dan agensi-agensi yang berkaitan dengan media massa memberi gambaran mereka kurang toleransi terhadap kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat. Ada yang sampai membuat aduan polis," kata Kadir, yang pernah mengetuai syarikat akhbar The New Straits Times Press. 

Menjawab kenyataan Kadir itu, SKMM berkata ia ingin “menekankan kepentingan pelaporan tepat yang merujuk konteks sebenar ucapan yang disampaikan di Parlimen”.

“Pemerhatian SKMM mendapati, beberapa pelaporan telah dijadikan senjata untuk memanipulasi kandungan serta mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.

“Bagi mencegah berlakunya sebarang cubaan melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), SKMM meminta kerjasama penuh daripada pihak atau individu berkaitan serta juga saluran berita,” tambahnya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi