- Iklan -
Berita

Abim gesa penguatkuasaan syariah atas tuduhan liwat terhadap PM

Ini berlaku selepas perang mulut di Dewan Rakyat yang menyaksikan seorang ahli Parlimen pembangkang membangkitkan sabitan terhadap Anwar Ibrahim sebelum ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertua Abim Perak, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff (dua dari kiri) selepas mengemukakan laporan kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk, di Ipoh hari ini, 22 September. Gambar: Facebook Abim Perak
Yang di-Pertua Abim Perak, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff (dua dari kiri) selepas mengemukakan laporan kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk, di Ipoh hari ini, 22 September. Gambar: Facebook Abim Perak

Sebuah kumpulan pro-kerajaan menggesa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengambil tindakan terhadap individu yang menuduh Anwar Ibrahim meliwat, susulan kekecohan di Parlimen awal minggu ini yang menyaksikan perang mulut antara perdana menteri dan ahli Parlimen pembangkang.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) cawangan Perak, pertubuhan yang pernah diketuai oleh Anwar sendiri, berkata membuat tuduhan sedemikian adalah sama dengan melakukan qazaf, atau menuduh seseorang melakukan salah laku seksual. 

Presiden Abim Perak, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff menggesa JAIPk menyiasat kesalahan itu di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

"Abim menyeru kepada semua anggota masyarakat untuk tidak terlibat menyebarkan fitnah dan qazaf, kerana implikasi buruk dan mencemar maruah di dunia, serta dosa yang berat di akhirat kelak," katanya kepada selepas mengemukakan laporan kepada Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk, di Ipoh hari ini.

Laporan tersebut dibuat berkaitan satu hantaran seorang pengguna media sosial yang dikatakan menulis kenyataan mengulangi frasa "Tambun peliwat" yang dilafazkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.

Radzi pada Selasa berulang kali menjerit "Saya yakin Tambun (Anwar) peliwat" selepas beliau berang dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang enggan memaksa Anwar menarik balik tuduhan rasuah terhadapnya atas alasan perdana menteri yakin apa yang beliau luahkan. 

Anwar dua kali disabitkan dan dipenjarakan atas kesalahan liwat, pertama pada 2000, dan kemudian pada 2015. 

Beliau bagaimanapun dibebaskan pada Mei 2018, selepas menerima pengampunan diraja daripada Agong seminggu selepas gabungan Pakatan Harapan berkuasa di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi