- Iklan -
Berita

Peruntukan kawasan Muar ditarik balik selepas keluar gabungan kerajaan, kata Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata perkara itu disahkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan peruntukan bagi kawasannya ditarik balik selepas beliau mengumumkan keluar daripada bangku kerajaan campuran pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Syed Saddiq berkata perkara itu disahkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sebaik saja beliau mengumumkan untuk keluar daripada gabungan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Sebaik sahaja saya berada di blok ini (pembangkang) peruntukan ditarik dan dikosongkan,” katanya ketika membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(6) selepas Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing menuduhnya menyebarkan berita palsu sewaktu mengajukan soalan ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 oleh Menteri Pendidikan Fadlina Sidek di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan kepada semua ahli Parlimen pembangkang lain yang hingga ke hari ini masih belum dapat sebarang peruntukan pembangunan untuk kawasan masing-masing.

“Peruntukan dalam RM3.8 juta yang semua ahli Parlimen kerajaan dapat, RM2 juta boleh diperuntukkan untuk bina dewan, baik pulih sekolah dan bantu orang susah, jadi jangan nak tuduh,” tambahnya.

“Persoalannya kenapa ahli Parlimen kerajaan boleh dapat RM4 juta, pembangkang RM0... jawab kepada rakyat.”

Pada 10 September, Syed Saddiq mengumumkan parti berasaskan belia, Muda yang diterajunya keluar daripada gabungan kerajaan campuran sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan Yayasan Akalbudi.

Beliau berkata Muda kini akan berfungsi sebagai kuasa ketiga pembangkang.

“Ini adalah permulaan untuk menormalisasikan rasuah,” katanya dalam catatan di Twitter.

“Kami tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan langkah tidak berprinsip ini. Biarlah saya dihukum dari hilang prinsip dan berdosa besar.”

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan kebajikan itu. 

Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang dilantik bulan lepas untuk menggantikan Raja Rozela Raja Toran yang secara tiba-tiba mengumumkan untuk "bersara awal", memaklumkan kepada hakim permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadap Zahid.

Syed Saddiq sebelum itu mengugut untuk menarik diri daripada gabungan kerajaan sehingga mencetuskan perang mulut dengan beberapa pemimpin DAP.

Pada 8 September, ahli jawatankuasa pusat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee mencabar Syed Saddiq supaya meneruskan ugutan itu supaya beliau boleh duduk di blok pembangkang di Dewan Rakyat. 

“Saya yakin dengan penarikan sokongan dan hilangnya Muda dari dalam kerajaan perpaduan, kita akan lebih mudah fokus. 

“Tugasan kita dalam membina negara dan menjaga kebajikan rakyat akan lebih senang kerana tidak ada lagi keperluan untuk melayan kerenah ‘kebudak-budakan’ sesetengah individu dan parti,” kata Lee.