- Iklan -
Berita

Suaram selar 'taktik lapuk' kekang perhimpunan Selamatkan Malaysia

Ia mengatakan kerajaan ketika ini yang mengaku diri sebagai ‘reformis’, sepatutnya lebih mengetahui baik buruk daripada 'mengekalkan ugutan untuk menyekat hak berhimpun secara aman'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Plakat yang memaparkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilihat di luar Jabatan Peguam Negara ketika Muda dan Parti Sosialis Malaysia menyerahkan memorandum bantahan terhadap pembebasan mahkamah, salah satu daripada kenyataan membantah keputusan melepas tanpa membebaskan beliau pada 4 September.
Plakat yang memaparkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilihat di luar Jabatan Peguam Negara ketika Muda dan Parti Sosialis Malaysia menyerahkan memorandum bantahan terhadap pembebasan mahkamah, salah satu daripada kenyataan membantah keputusan melepas tanpa membebaskan beliau pada 4 September.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyertai kritikan berhubung amaran mengenakan tindakan terhadap penganjur perhimpunan yang dijadualkan diadakan pada 16 September, mengatakan cubaan kerajaan menghalang perhimpunan "Selamatkan Malaysia" adalah "taktik lapuk" yang pernah digunakan oleh pentadbiran terdahulu untuk menyekat perhimpunan yang dianggap sebagai "sangat sensitif". 

Dalam satu kenyataan mengecam amaran polis itu, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy menyifatkan ia sebagai cubaan menyekat hak rakyat dalam perlembagaan untuk berhimpun secara aman. 

“Sebagai individu yang mengaku diri sebagai ‘reformis’, kerajaan sekarang sepatutnya lebih mengetahui baik buruk daripada meneruskan ugutan untuk menyekat hak berhimpun secara aman, terutamanya apabila ramai ahlinya mengalami sendiri amalan ini kerana menganjurkan atau mengambil bahagian dalam perhimpunan sewaktu menjadi pembangkang," katanya. 

Perhimpunan "Selamatkan Malaysia" hujung minggu ini dianjurkan Perikatan Nasional (PN) bagi membantah keputusan kontroversi peguam negara untuk menghentikan perbicaraan rasuah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap penganjur protes yang dirancang oleh PN pada 16 September, mengatakan mereka mesti mematuhi keperluan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

Ayob berkata mengikut Seksyen 9 (1) APA, mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan perhimpunan perlu memohon permit lima hari lebih awal.

Ketika ditanya mengenai perhimpunan yang diadakan tanpa permohonan yang diperlukan, beliau berkata tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada. 

Komen beliau serta kenyataan yang sama oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty yang memberi amaran kepada kerajaan dan polis terhadap ugutan dan penggunaan APA. 

Sevan berkata polis sepatutnya membenarkan dan memudahkan perhimpunan itu kerana PN sudah memberi jaminan untuk memberi kerjasama dengan agensi penguatkuasaan itu. 

“Tambahan pula, kerajaan mesti mengambil langkah konkrit, termasuk meminda atau memansuhkan APA, ke arah memastikan rakyat dapat melaksanakan sepenuhnya kebebasan asasi mereka berhimpun secara aman tanpa diskriminasi,” katanya. 

Beliau turut membidas tindakan melakukan hadangan polis di Tugu Negara yang dikatakan menghalang penganjur dan penunjuk perasaan pergerakan Lawan Lapar daripada berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum keterjaminan makanan kepada ahli Parlimen.

"Hadangan polis yang berlapis-lapis adalah sama seperti kepungan manusia sewaktu ‘Walk for Judicial Independence’ tahun lepas," katanya.

“Polis juga dilihat mengenakan tindakan yang melanggar undang-undang dalam kedua-dua perhimpunan awam, dengan perhimpunan Lawan Lapar melibatkan penyerahan memorandum di kawasan berhalangan, dan ‘Walk for Judicial Independence’ melibatkan kuota wakil yang akan dibenarkan ke Parlimen."

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata semalam kertas siasatan dibuka selepas sekumpulan orang cuba berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum.

Beliau berkata kumpulan itu mengingkari arahan polis di mana aturan dibuat oleh pegawai Parlimen untuk penyerahan berkenaan dibuat di Tugu Negara.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi