- Iklan -
Berita

Zahid harus letak jawatan, kata Muda-PSM dalam memo bantahan kepada Jabatan Peguam Negara

Mereka juga menuntut penjelasan penuh daripada Jabatan Peguam Negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Plakat yang memaparkan grafik Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dipegang di luar Jabatan Peguam Negara di Putrajaya ketika Muda dan Parti Sosialis Malaysia menyampaikan memorandum bantahan terhadap keputusan pembebasan beliau.
Plakat yang memaparkan grafik Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dipegang di luar Jabatan Peguam Negara di Putrajaya ketika Muda dan Parti Sosialis Malaysia menyampaikan memorandum bantahan terhadap keputusan pembebasan beliau.

Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menuntut penjelasan penuh daripada Jabatan Peguam Negara di Parlimen mengenai keputusan menghentikan prosiding kes mahkamah membabitkan Ahmad Zahid Hamidi dan melepas tanpa membebaskan (DNAA) timbalan perdana menteri itu daripada semua 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. 

Dalam memorandum yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini, mereka berkata Zahid harus didakwa semula dan kes itu diteruskan sehingga penjelasan konkrit daripada pihak mahkamah dicapai.  

Mereka juga menggesa Zahid meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri sehingga kes selesai, bagi mengelakkan sebarang percanggahan kepentingan. 

Memorandum itu dibuat sehari selepas Muda mengumumkan keluar daripada gabungan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai membantah tindakan membebaskan Zahid dalam kes Yayasan Akalbudi.

Menyebutnya sebagai permulaan kepada “menormalisasikan rasuah”, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata partinya kini akan berfungsi sebagai kuasa ketiga pembangkang.

“Kami tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan langkah tidak berprinsip ini,” katanya.

Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan pada 4 September lalu selepas pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan kepada hakim permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadap presiden Umno itu.

Memorandum yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi dan Ketua Pemuda PSM Arveent Kathirtchelvan melahirkan kebimbangan terhadap kehilangan kredibiliti institusi negara susulan keputusan ini.

“Langkah-langkah serius harus diambil oleh kerajaan Madani untuk membendung persepsi negatif terhadap pengurusan negara yang kini wujud serta membaiki kesan-kesan mudarat akibat penghentian prosiding,” katanya.

Jika tuntutan Muda dan PSM tidak dipenuhi dalam tempoh lima hari bekerja atau sebelum 18 September, mereka akan meneruskan demonstrasi atas semangat demokrasi untuk mengangkat kekecewaan rakyat.