- Iklan -
Berita

Lokman Adam aset atau liabiliti kerajaan?

Persoalan dibangkitkan mengenai kaedah komunikasi beliau dan sama ada ia memberi manfaat kepada gabungan PH-BN.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Komunikasi Umno Lokman Adam.
Pengarah Komunikasi Umno Lokman Adam.

Setelah kekalahan memalukan Barisan Nasional (BN) dalam enam Pilihan Raya Negeri  (PRN) baru-baru ini, persoalan timbul mengenai kredibiliti pengarah komunikasi Umno merangkap ketua sekretariat media kerajaan, Lokman Adam.

Ini kerana BN terutamanya Umno terus gagal mendapat kepercayaan penyokong mereka, iaitu masyarakat Melayu yang beralih kepada Perikatan Nasional (PN). 

Baru-baru ini, Lokman dirakam mengutuk penyokong PN yang majoritinya orang Melayu sebagai “bodoh”, selain menggesa orang ramai untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan milik PAS, iaitu Pasti.

“Jangan ada seekor pun anak kita dihantar ke Pasti," katanya dalam satu program bersama jentera kerajaan campuran.

Pemerhati politik Azizi Safar berkata cara Lokman berkomunikasi dilihat mengurangkan lagi sokongan kepada Umno.

“Sekian lama Lokman Adam mengadakan sesi 'live' setiap malam di Facebook, tidak bertambah juga sokongan kepada Umno-BN.

“Bahkan mengurangkan lagi sokongan adalah," katanya kepada MalaysiaNow.

Pada PRN lepas, BN hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Parti itu tidak memenangi sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu, satu di Kelantan, dua di Selangor dan Pulau Pinang. 

Di Negeri Sembilan nasib BN lebih baik dengan 14 kerusi.

Lokman dilantik menjadi ahli majlis tertinggi Umno selepas dibuang daripada parti itu pada 2020 atas alasan melanggar disiplin parti.

Beliau pernah bertanding sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil Sungai Kandis namun tewas.

Pada 2019 Lokman menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim terlibat dalam satu kes liwat di Singapura. 

Ditanya mengenai individu yang boleh menggantikan Lokman, Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang berkata Umno mempunyai Ketua Penerangan, Azalina Othman Said yang mana jawatan tersebut lebih tinggi daripada pengarah komunikasi.

Azalina dilantik menggantikan Isham Jalil pada awal tahun ini.

Namun Umno dilihat mempunyai masalah aspek komunikasi yang melangkaui individu.

“Umno 'berkempen' hanya kepada sesama ahli Umno, dan bukan orang di luar parti," kata Azizi.

Dalam pada itu, pakar komunikasi Universiti Teknologi Mara, Abd Aziz Azizam berkata, parti-parti kerajaan sewajarnya mengukuhkan perpaduan dan sinergi antara satu sama lain, namun agenda itu tidak begitu jelas sekarang.

"Sinergi dalam gabungan tidak begitu berhasil daripada siri PRN lalu, melihatkan kepada kelemahan Umno dalam membantu kemenangan gabungan PH-BN.

“Ini boleh dilihat daripada kelemahan komunikasi yang mana ia perlu diungguli oleh Lokman Adam namun jika difikirkan, menjadi beban kepada Umno dan PH-BN," katanya.

Menurut Aziz, kaedah komunikasi Lokman dilihat tidak memberi impak positif.

Bahkan, lebih malang kepada kerajaan campuran, katanya kedudukan Lokman memberikan kelebihan kepada PN ekoran kelemahan-kelemahan beliau.