- Iklan -
Berita

Pengundian tamat, proses penjumlahan undi bermula untuk PRK Johor

Proses penjumlahan undi dijangka selesai seawal jam 8.30 malam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motosikal melintasi barisan bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan menjelang pilihan raya kecil Simpang Jeram di Johor.
Seorang penunggang motosikal melintasi barisan bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan menjelang pilihan raya kecil Simpang Jeram di Johor.

Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang bermula 8 pagi tadi berakhir dengan kesemua 61 pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 6 petang ini.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 362 saluran iaitu 294 di Parlimen Pulai dan 68 di DUN Simpang Jeram, akan dibawa ke dua pusat penjumlahan undi seawal 7.20 malam sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Penjumlahan undi bagi Parlimen Pulai dilakukan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Johor Bahru manakala bagi DUN Simpang Jeram ialah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata proses penjumlahan undi dijangka selesai seawal 8.30 malam.

Sementara itu, sebanyak 304 kertas undi pos turut dikeluarkan oleh SPR bagi PRK di kedua-dua kerusi. 

Kira-kira 90% atau 831 orang daripada 927 pengundi awal yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunaikan tanggungjawab mereka pada 5 September lepas.

Mengikut data SPR, secara keseluruhan terdapat sejumlah 166,653 pengundi di Parlimen Pulai dan 40,379 pengundi di DUN Simpang Jeram.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin menang di Parlimen Pulai dengan majoriti undi 33,174 manakala bagi DUN Simpang Jeram, beliau menang dengan majoriti undi sebanyak 2,399.

PRK di kedua-dua kerusi menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

Calon PH Suhaizan Kaiat, Zulkifli Jaafar (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) berentap di Parlimen Pulai manakala Nazri Abdul Rahman (PH), Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan S Jeganathan (Bebas) di DUN Simpang Jeram.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.