- Iklan -
Berita

Anwar tak setuju keputusan DNAA Zahid dibahas dalam sidang khas Parlimen

Perdana menteri berkata Parlimen tidak boleh diubah menjadi mahkamah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 3 April. Gambar: Reuters
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 3 April. Gambar: Reuters

Keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi tidak boleh dibahas dalam sidang khas di Parlimen, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata platform Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah bagi membincangkan keputusan yang telah dibuat oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah terhadap Zahid yang juga timbalan perdana menteri.

“Mana boleh kes mahkamah nak runding di Parlimen… Parlimen bukan mahkamah yang boleh dia tanya soalan dan kita cuba jawab sebab peguam negara bukan Ahli Parlimen dan bukan menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling dekat Kuala Lumpur semalam.

Beliau mengulas gesaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menerusi Naib Ketuanya Atyrah Hanim Razali semalam yang mahu sidang tergempar Parlimen diadakan bagi membahaskan keputusan DNAA terhadap Zahid.

Menurut Atyrah, Jabatan Peguam Negara perlu diberikan tempoh masa untuk mencari bukti baharu bagi mendakwa semula Ahmad Zahid dan pendakwaan semula itu perlu dilakukan serta-merta jika pimpinan Kerajaan Perpaduan tidak mahu kehilangan kredibiliti. 

Anwar berkata kerajaan tiada halangan jika mana-mana Ahli Parlimen bertanyakan mengenai kes itu semasa Dewan Rakyat bersidang tetapi sidang Parlimen seharusnya tidak bertukar platformnya sebagai mahkamah.

Sementara itu, mengenai ancaman Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan keputusan DNAA Zahid itu, Anwar menyifatkannya sebagai tidak adil kerana kuasa membuat keputusan tersebut bukan ditangannya kerana pendakwaan adalah hak mutlak Jabatan Peguam Negara.

Selasa lepas, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata Muda akan menarik sokongan kepada kerajaan perpaduan sekiranya Jabatan Peguam Negara tidak menjelaskan secara terperinci berhubung keputusan mahkamah terhadap kes membabitkan Zahid itu.