- Iklan -
Berita

Lebih 70% dijangka keluar mengundi bagi PRK Pulai, Simpang Jeram

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata sasaran itu akan melepasi peratusan keluar mengundi yang dicatatkan dalam enam pilihan raya negeri bulan lepas, jika dicapai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak berbasikal di sepanjang jalan yang dihiasi dengan bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan di Kampung Bukit Batu menjelang Pilihan Raya Kecil Simpang Jeram.
Kanak-kanak berbasikal di sepanjang jalan yang dihiasi dengan bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan di Kampung Bukit Batu menjelang Pilihan Raya Kecil Simpang Jeram.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram esok melebihi 70%.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata jika jumlah peratusan itu tercapai, ia mengatasi peratusan keluar mengundi, iaitu lebih 60% yang direkodkan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lepas.

“Kita menjangkakan peratusan itu selepas melihat beberapa faktor, antaranya tanggungjawab yang perlu ditunaikan pengundi dan calon-calon yang sangat hebat dan bersemangat ketika berkempen,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK.

Beliau bercakap pada sidang media selepas meninjau proses persiapan petugas SPR di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bahru, di Johor Bahru hari ini.

Justeru itu, Ghani menyeru agar semua pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan merancang perjalanan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Ghani berkata pengundi juga dinasihatkan supaya jangan sesekali menyerahkan kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali, selain daripada petugas SPR untuk tujuan semakan. 

Sementara itu, katanya terdapat sebanyak 47 pusat mengundi membabitkan 294 saluran di Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram sebanyak 14 pusat mengundi dengan 68 saluran, yang akan dibuka daripada pukul 8 pagi sehingga 6 petang.

Beliau berkata, kesemua persiapan di semua pusat mengundi sedang dilakukan, bagi memastikan kelancaran proses mengundi esok.

Di Muar, taklimat dan persiapan terakhir bagi PRK DUN Simpang Jeram giat diadakan di pusat penjumlahan undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Johor Bahru, hari ini.

Turut turun padang meninjau persiapan ialah Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom yang tiba kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata SPR telah menjalankan proses semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya bagi kegunaan pada hari mengundi esok.

Beliau berkata seramai 2,692 petugas akan bertugas bagi proses pengundian di semua pusat pengundian di Parlimen Pulai manakala 678 petugas bertanggungjawab di kesemua pusat mengundi di DUN Simpang Jeram.

Ikmalrudin juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini dan selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial.

Selain itu, semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi dilarang memakai sebarang pakaian atau barangan yang mempunyai nama lambang simbol, gambar parti atau calon yang bertanding.

Mereka juga dilarang membawa apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

PRK Parlimen Pulai menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lepas.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi