- Iklan -
Berita

Kertas siasatan terhadap Hadi, Mahathir diserah kepada Jabatan Peguam Negara, kata KPN

Razarudin Husain juga berkata polis akan merakamkan keterangan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berhubung isu ‘fatwa’ politik yang dikeluarkannya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Gambar: Bernama

Polis semalam menyerahkan kertas siasatan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kepada Pejabat Peguam Negara berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Muar, Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis melengkapkan siasatan kes berkenaan semalam dan menyerahkan kertas siasatan itu pagi tadi.

“Kami menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan 4th National Forensic Science Symposium for Law Enforcement 2023 di Maktab polis di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan telah dibuka terhadap Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia berhubung kenyataan Hadi yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar pada bulan lepas. 

Sementara itu, berhubung siasatan terhadap bekas perdana menteri Mahathir Mohamad berikutan kenyataannya yang dikatakan menghina institusi diraja, Razarudin berkata kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa lepas.

Pada Jun lepas, Dr Mahathir dikatakan membuat kenyataan berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja yang disiarkan MGNews pada 6 Jun lepas.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan, beliau berkata siasatan masih diteruskan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Selain itu, Razarudin berkata kertas siasatan terhadap Loo yang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah telah serahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Ogos lepas.

Pada Isnin lepas, polis telah berjaya mendapatkan semula sejumlah RM93.2 juta aset merangkumi hartanah dan akaun bank milik Loo yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Bercakap pada sidang media itu juga ketika diminta mengulas mengenai usaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang masih jauh, Razarudin berkata polis sama sekali tidak pernah berhenti daripada menjejaki ahli perniagaan itu.

“Seperti saya beritahu sebelum ini, jerat tidak pernah lupakan pelanduk ia sama juga seperti Jasmine Loo, orang tidak bertanya mengenai keberadaannya sebelum ini tetapi polis berjaya membawa balik beliau,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin mengesahkan polis akan mengambil keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pada Selasa depan berhubung isu "fatwa" politik yang dikeluarkannya.

Muhyiddin sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor, baru-baru ini didakwa mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan tindakan mengundi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat sebagai haram.