- Iklan -
Berita

Malaysia tuntut bekas jurubank Goldman disabitkan bersalah dalam kes 1MDB dibawa pulang

Roger Ng disabitkan bersalah pada Mac 2022 atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng, keluar dari mahkamah selepas didapati bersalah kerana bersubahat menyeleweng dana 1MDB, di Brooklyn, New York. Gambar: Reuters
Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng, keluar dari mahkamah selepas didapati bersalah kerana bersubahat menyeleweng dana 1MDB, di Brooklyn, New York. Gambar: Reuters

Malaysia mahu bekas jurubank Goldman Sachs yang disabitkan bersalah tahun lalu di New York kerana bersubahat menyeleweng berbilion dolar daripada dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dibawa pulang ke negara ini sebelum memulakan hukuman penjara 10 tahunnya di Amerika Syarikat (AS). 

Hakim Daerah AS Margo Brodie di Brooklyn pada Selasa menangguhkan tarikh penyerahan Roger Ng yang dijadualkan pada 6 September selama sebulan kepada 6 Okt, selepas pendakwa raya persekutuan berkata mereka memerlukan lebih banyak masa untuk berbincang terlebih dulu dengan pihak berkuasa Malaysia tentang membenarkan dia dibicarakan atas tuduhan di sana. 

"AS juga sedang berusaha untuk memastikan bahawa prosedur yang mengawal kepulangan defendan ke Malaysia tidak akan melengahkan hukumannya di AS," kata pendakwa raya. 

Peguam Ng bersetuju dengan penangguhan selama sebulan, kata pendakwa raya. 

Marc Agnifilo, salah seorang peguam, bagaimanapun enggan mengulas. 

Kes itu berpunca daripada kira-kira AS$6.5 bilion (RM30.19 bilion) bon yang Goldman bantu 1MDB untuk dijual pada 2012 dan 2013.

Pendakwa raya AS berkata AS$4.5 bilion daripada jumlah itu telah digelapkan oleh pegawai, jurubank dan sekutu mereka. 

Ng, 51, disabitkan bersalah pada Mac 2022 atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. 

Brodie menggelar penyelewengannya sebagai "jenayah tamak" ketika menjatuhkan hukuman terhadap Ng setahun kemudian. 

Pada perbicaraan mahkamah bulan lalu, pendakwa raya AS Drew Rolle berkata Ng boleh dibawa pulang ke Malaysia untuk dibicarakan di sana sebaik sahaja dia berada dalam tahanan AS. 

Agnifilo berkata pada pendengaran itu, Malaysia mahukan kerjasama Ng dengan siasatan 1MDB yang sedang dijalankan. 

Ng ditangkap di Malaysia pada November 2018 dan bersetuju untuk diekstradisi ke AS tiga bulan kemudian.

Dalam surat berasingan kepada Brodie pada Selasa, peguam yang diupah bulan ini oleh kerajaan Malaysia berkata AS telah "terkebelakang" dalam komitmennya berhubung penyerahan Ng. 

Peguam menggelar perkara itu sebagai "isu yang sangat serius." 

Seorang lagi jurubank Goldman, bekas bos Ng, Tim Leissner, mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng pada perbicaraan itu. 

Dia bagaimanapun masih belum dijatuhkan hukuman. 

Jho Low, yang dikatakan dalang skandal 1MDB, juga didakwa tetapi masih bebas.