- Iklan -
Berita

Jangan perbodoh rakyat, bekas ketua SPRM beritahu pemimpin kerajaan

Peguam Latheefa Koya menyelar tindakan kerajaan menganggap penghakiman DNAA terhadap Ahmad Zahid Hamidi sebagai keputusan mahkamah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya. Gambar: Facebook
Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya. Gambar: Facebook

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mengkritik mereka yang cuba mewajarkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam untuk menggugurkan pertuduhan rasuah ke atas Ahmad Zahid Hamidi, ketika pemimpin kerajaan sedang berusaha meredakan kritikan rakyat yang semakin memuncak susulan keputusan pihak pendakwaan.

Latheefa, yang berkhidmat sebagai ketua pesuruhjaya sewaktu pentadbiran kali kedua Dr Mahathir Mohamad, berkata mahkamah tidak mempunyai pilihan dalam perkara itu selepas pihak pendakwaan sendiri memohon supaya Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). 

"Berhenti cuba memperbodoh rakyat dengan mengulangi pendirian bahawa penghakiman DNAA terhadap Zahid adalah keputusan mahkamah," katanya dalam catatan di Twitter. 

"Perkara 145(3) adalah jelas – mahkamah tidak mempunyai pilihan dalam perkara itu. Jadi jangan salahkan mahkamah. Itu tidak jujur dan menghina hakim yang bekerja keras. 

“Kerajaan tidak boleh meletakkan kesalahan ini kepada orang lain.”

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional, diberikan DNAA selepas Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk memberhentikan kes terhadapnya. 

Beliau berdepan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan dana Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016. 

Ahli politik kerajaan sebahagian besarnya mengelak daripada mengulas mengenai isu itu dalam menjawab kritikan di media sosial, dengan ramai hanya mengatakan mereka menghormati keputusan mahkamah.