- Iklan -
Berita

‘Bravo Malaysia’: Sindir Mahathir lepas keputusan mahkamah Zahid

Bekas perdana menteri menyindir sistem kehakiman Malaysia sebagai 'yang terbaik di dunia'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini menulis kenyataan mengenai sistem kehakiman Malaysia yang diselubungi sindiran, sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah berkaitan Yayasan Akalbudi. 

Dalam kenyataan bertajuk "Rule of Law", bekas perdana menteri itu berkata undang-undang dibuat manusia boleh diubah atau ditafsir semula. 

Pada "zaman dahulu di England", mencuri boleh dihukum mati, namun katanya hari ini, di bawah "undang-undang baharu", hukuman mati tidak boleh dikenakan meskipun untuk kes pembunuhan. 

"Badan kehakiman terdiri daripada peguam negara dan hakim. Keputusan mahkamah pertama boleh dirayu melalui mahkamah kedua. Dan keputusan mahkamah kedua merayu melalui mahkamah ketiga.

"Selepas itu ketua negara (Yang di-Pertuan Agong) boleh mengubah suai hukuman atau memberi pengampunan. Tetapi rasa bersalah itu tetap ada.

"Ada hakim lain yang tidak mempengerusikan mahkamah. Hakim ini membuat keputusan sendiri berdasarkan apa sahaja. 

“Dia mungkin memutuskan tiada kes. Walaupun kes itu dibicarakan, keputusannya tetap. 

"Hakim mungkin percaya ada kesalahan dan enggan membebaskan. Tetapi kes itu tidak boleh dibicarakan. Itu undang-undang. 

“Kedaulatan undang-undang dipatuhi.

"Bravo Malaysia. Badan kehakiman anda adalah yang terbaik di dunia," katanya.

Semalam, Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi 47 pertuduhan terhadapnya dalam kes Yayasan Akalbudi selepas Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk memberhentikan prosiding terhadap presiden Umno itu. 

Pihak pendakwaan memohon DNAA, manakala peguam Zahid Hisyam Teh Poh Teik kemudiannya berkata beliau akan merayu untuk pembebasan penuh. 

Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan dana Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.