- Iklan -
Berita

Zahid bebas daripada pertuduhan rasuah

Beliau dilepas tanpa dibebaskan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi timbalan perdana menteri ini, bagi menggugurkan kesemua tuduhan.

Pihak pendakwaan memohon supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan awal hari ini, manakala pasukan pembelaan Zahid berhujah untuk pembebasan penuh pertuduhan terhadapnya. 

Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.

Permohonan pihak pendakwaan dibuat beberapa minggu selepas timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, yang dilihat mengajukan soalan bertalu-talu terhadap Zahid semasa perbicaraan, berhenti mengetuai pasukan pendakwaan.

Raja Rozela mengetuai pasukan pendakwaan sejak permulaan perbicaraan, dan ketidakhadirannya yang mengejut awal bulan lalu membawa kepada spekulasi campur tangan kerajaan di tengah-tengah rayuan Zahid supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan. 

Ini mendorong Peguam Negara Idrus Harun untuk mengatakan bahawa Raja Rozela sendiri yang memohon untuk "bersara awal", berkuat kuasa 1 November. 

Sekurang-kurangnya dua peguam secara terbuka menuntut penjelasan atas ketidakhadirannya, berkata perkembangan itu mempunyai kaitan dengan keyakinan orang ramai terhadap cara perbicaraan dijalankan.

"Pendakwaan terhadap timbalan perdana menteri yang sedang berlangsung ini adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam yang tinggi. Ia mesti dilihat dilaksanakan secara bebas dan telus, tanpa sebarang campur tangan," kata Peguam Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif.

Seorang lagi peguam dalam pada itu mempersoalkan waktu menggantikan Raja Rozela. 

“Perbicaraan di tahap pendakwaan selama 53 hari bermula 18 November 2019 sehingga 19 Mac 2021 membabitkan 99 saksi. 

“Kayu ukur kejayaan pasukan pendakwaan sudah tentu apabila Zahid dipanggil membela diri yakni segala elemen-elemen pertuduhan berjaya dibuktikan. 

“Maka sekiranya begitu mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan?” soal Rafique Rashid.

Raja Rozela bagaimanapun enggan mengulas ketika dihubungi akhbar itu.

"Saya seorang penjawat awam... saya tidak dibenarkan mengulas. Saya mohon maaf," katanya dipetik sebagai berkata New Straits Times.