- Iklan -
Berita

Tuduhan rasuah Zahid dari prima facie hingga dibebaskan

Beliau dilepas tanpa dibebaskan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tersenyum ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pertuduhan rasuah terhadapnya digugurkan, pada 4 September. Gambar: Reuters
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi tersenyum ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pertuduhan rasuah terhadapnya digugurkan, pada 4 September. Gambar: Reuters

Keputusan perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi hari ini sudah lama ditunggu-tunggu, kerana ramai yang menganggap nasib presiden Umno itu berkait rapat dengan survival kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Zahid, bagaimanapun, memainkan peranan penting dalam memastikan pemimpin PKR itu mencapai cita-citanya selama berdekad-dekad menjadi perdana menteri, memberikan sokongan 30 Ahli Parlimennya daripada Barisan Nasional untuk Pakatan Harapan (PH) dan memecahkan kebuntuan daripada Parlimen yang tergantung selepas keputusan pilihan raya tahun lepas. 

Zahid sendiri merupakan sasaran utama sewaktu kempen pilihan raya umum, dengan pemimpin PH memberi amaran kepada pengundi bahawa undi untuk mana-mana calon BN adalah undi untuk Zahid membebaskan diri daripada 47 pertuduhan rasuah terhadapnya.

Presiden Umno itu memberitahu pemimpin partinya bahawa survival mereka bergantung kepada sama ada mereka kekal dalam kerajaan atau tidak. 

Amaran PH itu dibuat, antara lain, dalam lagu penyanyi rap Altimet yang menggambarkan Zahid dan pemimpin BN sebagai penyamun yang menjadi viral menjelang pilihan raya 19 November.

Namun, semua itu berubah hanya beberapa hari selepas hari pengundian, apabila Zahid memberikan sokongan gabungannya kepada PH. 

Pelantikannya sebagai timbalan menteri meletakkannya pada kedudukan yang lebih selesa, jauh berbeza daripada ketika beliau membawa fail mahkamahnya untuk bertemu dengan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin. 

Kes Yayasan Akalbudi menyaksikan Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Pada 24 Januari 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Tuduhan itu adalah sebahagian daripada 87 pertuduhan yang dikenakan terhadap Zahid, termasuk 40 pendakwaan menerima rasuah berkaitan sistem visa luar negara. 

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, pihak pendakwaan, yang memanggil seramai 99 saksi, telah membuktikan kesemua elemen pertuduhan Yayasan Akalbudi terhadap Zahid.

Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia. 

Zahid juga didakwa atas lapan pertuduhan rasuah, di mana beliau didakwa menerima rasuah sebagai dorongan untuknya, dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri ketika itu, bagi membantu tiga syarikat masing-masing bagi mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran di Pakistan dan Nepal. 

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa terlibat dalam transaksi langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Pihak pendakwaan antara lain berkata Zahid dan isterinya telah menggunakan lebih RM1.3 juta dana Yayasan Akalbudi untuk membayar caj kad kreditnya untuk membeli-belah di kedai mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes. 

Raja Rozela Raja Toran, yang mengetuai pasukan pendakwaan pada masa itu, berkata jumlah itu dibelanjakan dalam masa dua tahun sahaja, di gedung membeli-belah mewah di seluruh dunia dan tempatan.