- Iklan -
Berita

Aset bernilai RM93.2 juta dirampas dalam siasatan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ini termasuk lukisan Picasso, jam tangan mewah, beg tangan dan hartanah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay. Gambar: Bernama
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay. Gambar: Bernama

Dua lukisan pelukis terkenal Pablo Picasso, jam tangan mewah serta kondominium mewah di London, Amerika Syarikat dan Switzerland, merupakan antara aset yang dirampas daripada bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata aset dengan jumlah keseluruhan RM93.2 juta itu, dipercayai diperoleh hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

Beliau berkata polis telah merampas pelbagai barangan bernilai RM625,500 dari sebuah kondominium di Bukit Damansara di Kuala Lumpur, yang dijadikan lokasi menyimpan aset yang diperoleh hasil penyelewengan dana 1MDB oleh Loo.

“Antara barangan yang dirampas ialah masing-masing seutas jam tangan mewah jenama Richard Mille dan Harry Winston, 13 beg tangan pelbagai jenama, seutas gelang tangan dan dokumen,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata siasatan terhadap Loo mendapati, beliau ditawarkan jawatan dalam syarikat berkenaan pada 2011 dan menerima gaji sebanyak RM40,000 sebulan. 

“Selain itu, siasatan juga mendapati Loo merupakan pemilik syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island, yang mempunyai akaun bersama Jho Low di Falcon Private Bank,” katanya.

Ayob Khan berkata Loo juga ada menerima wang daripada beberapa syarikat dan entiti bernilai US$16 juta, yang digunakan untuk membeli masing-masing sebuah hartanah di New York dan London, serta membuat pelaburan di Amerika Syarikat.

“AS$5 juta daripada jumlah ini telah dibekukan oleh Department Of Justice Amerika Syarikat,” katanya sambil menambah, Loo ada menerima beberapa hadiah daripada Jho Low, antaranya jam tangan mewah jenama Richard Mille dan Harry Winston, serta beg tangan jenama Berkin.

Loo juga, menurut Ayob Khan memiliki beberapa aset di Singapura, antaranya akaun bank di Credit Suisse AG yang berbaki SG$4 juta dan BSI Bank Singapura yang belum dikenal pasti bakinya.

Ayob Khan berkata Loo turut memiliki dua kondominium bernilai SG$1.3 juta dan SG$2.5 juta di republik berkenaan, dan telah menandatangani satu akuan bersumpah untuk menyerahkan semua aset miliknya kembali kepada 1MDB. 

“Akaun bersumpah ini telah diserahkan kepada Commercial Crime Affairs Department Singapura, pada 30 Ogos lepas,” katanya.

Ayob Khan berkata polis juga, telah mengenal pasti aset-aset di London, Amerika Syarikat dan Switzerland, yang merupakan hasil penyelewengan dana syarikat pelaburan negara itu, antaranya sembilan lukisan bernilai RM8.1 juta termasuk dua lukisan Picasso, dua kondominium mewah dan wang tunai berjumlah RM23 juta yang disimpan dalam akaun sebuah bank.

“Usaha sedang dijalankan bagi membawa pulang aset-aset ini untuk dikembalikan kepada 1MDB, bagaimanapun ia akan mengambil masa kerana melibatkan agensi luar negara,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan Loo dijadikan saksi dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan, Ayob Khan tidak menolak sebarang kemungkinan kerana siasatan terhadap 1MDB dijalankan oleh pelbagai pihak dan masih berjalan.

Beliau berkata ketika ini Loo berada dalam keadaan yang baik dan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Mungkin beliau menyerahkan diri kerana sukar untuk berlindung di luar negara bagi tempoh yang lama. Polis juga akan menyelesaikan siasatan terhadap beliau dalam masa terdekat dan akan menyerahkannya kepada agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.