- Iklan -
Berita

Zahid yakin Jabatan Peguam Negara akan lakukan 'sesuatu lebih positif' dalam kes Najib

Timbalan perdana menteri itu merujuk kepada pengedaran 'memo dalaman' dalam Jabatan Peguam Negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meningkatkan tekanan ke atas Jabatan Peguam Negara untuk menyemak semula pertuduhan terhadap bekas perdana menteri yang sedang menjalani hukuman penjara, Najib Razak, merujuk kepada pengedaran memo dalaman yang didakwa dihantar oleh pasukan pendakwaan pada 2019 kepada peguam negara ketika itu Tommy Thomas.

Zahid, presiden Umno yang juga sedang menunggu keputusan rayuannya supaya 47 pertuduhan jenayahnya digugurkan, berkata jika memo itu tulen, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan segera untuk menggugurkan pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu.

“Rakyat, khususnya kepimpinan dan ahli Umno menaruh keyakinan bahawa penganiayaan yang dikenakan kepada Najib atas arahan kerajaan dan pemimpin ketika itu harus dijadikan asas untuk memperlihatkan bahawa keadilan mesti diberikan keutamaan oleh pihak Jabatan Peguam Negara," katanya seperti dilaporkan Astro Awani hari ini.

“Kami mempunyai keyakinan penuh pada kredibiliti dan kemampuan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti serta melakukan sesuatu yang lebih positif supaya Najib benar-benar diberi keadilan.”

Gesaan Zahid dibuat dua minggu selepas Peguam Negara Idrus Harun berkata pejabatnya akan melakukan siasatan mengenai dakwaan kebocoran memo itu. 

Memo 2019 itu dilaporkan daripada anggota pasukan pendakwaan bagi kes membabitkan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC), yang mengesyorkan Thomas menggugurkan enam daripada pertuduhan rasuah terhadap Najib, serta bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah. 

Najib dan Irwan didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion untuk pembayaran kepada IPIC. 

Memo itu dipercayai bertarikh 10 September 2019.

Sementara itu, Thomas, yang meletak jawatan enam bulan kemudian pada Februari 2020 berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, berkata beliau tidak ingat mengenai memo itu. 

Usaha Najib untuk menggugurkan pertuduhan pada 2021 gagal.

Awal bulan ini, beliau menghantar representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara.