- Iklan -
Berita

Najib gagal tangguh bicara 1MDB, prosiding disambung Isnin

Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas perdana menteri itu, sambil berkata kepentingan awam menuntut kes itu diteruskan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Bekas Perdana Menteri Najib Razak gagal dalam usahanya untuk menangguhkan perbicaraan kes dihadapinya membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu selesai rayuannya untuk menggugurkan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah itu ditolak Mahkamah Rayuan hari ini.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, Ahmad Zaidi Ibrahim dan S.M. Komathy Suppiah.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hadhariah berkata mahkamah bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bahawa tiada keadaan istimewa ditunjukkan kepada mahkamah untuk membenarkan penangguhan prosiding itu.

“Kami tidak dapat bersetuju dengan hujahan pemohon (Najib) bahawa rayuan itu akan menjadi batal sekiranya penangguhan itu ditolak. Pada pandangan kami, kepentingan awam menuntut kes itu diteruskan,” katanya. 

Beliau berkata perbicaraan itu telah mendengar keterangan 46 saksi selama 173 hari perbicaraan dan dalam keadaan sedemikian tiada alasan kukuh untuk membenarkan penangguhan itu.

Mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan itu dan permohonan itu ditolak, kata hakim itu.

Terdahulu, dalam prosiding itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan hanya memohon penangguhan tiga tarikh perbicaraan minggu depan dan beliau akan bekerjasama dengan badan kehakiman untuk menyediakan dokumen yang diperlukan supaya rayuan anak guamnya dapat didengar dalam tempoh dua minggu.

Kamal Baharin bagaimanapun membantah dengan mengatakan tiada keadaan istimewa untuk mahkamah membenarkan penangguhan itu dan perbicaraan perlu diteruskan.

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang dijadualkan pada 28 Ogos akan disambung semula. 

Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Rayuan selepas permohonan penangguhannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 18 Ogos.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon di Mahkamah Tinggi pada 14 Ogos untuk menggugurkan Sequerah daripada mendengar kesnya selepas hakim itu mendedahkan bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi dalam sebuah firma guaman.

Pada 12 Julai, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Loo ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Pada 18 Ogos, Sequerah menolak permohonan Najib supaya beliau menarik diri daripada mendengar ke situ. Hakim itu juga menolak permohonan bekas menteri kewangan itu untuk menangguhkan sementara perbicaraan 1MDB sementara menunggu rayuan selesai.

Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari yang sama terhadap keputusan Sequerah itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Selepas prosiding mahkamah, Shafee memberitahu pemberita bahawa pihak pembelaan akan memfailkan permohonan baharu di Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan perbicaraan itu.