- Iklan -
Berita

Mahkamah perintah Guan Eng bayar RM250,000 kepada Azeez dalam saman fitnah

Mahkamah Rayuan berkata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu memfitnah Abdul Azeez Abdul Rahim dengan mengaitkannya dengan yuran perundingan RM3 juta yang dibayar oleh pemaju projek terowong dasar laut negeri itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kiri) dan bekas ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kiri) dan bekas ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membayar ganti rugi am RM250,000 kepada bekas ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim kerana memfitnah berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Panel tiga hakim terdiri daripada Azizah Nawawi, Mariana Yahya dan  Azimah Omar yang membenarkan rayuan Azeez turut memerintahkan Lim selaku responden membayar kos RM70,000 kepadanya.

Hakim Azimah ketika membacakan keputusan itu berkata mahkamah rendah telah terkhilaf menolak saman Azeez terhadap Lim dan membenarkan pembelaan Lim bagi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan yang layak berhubung kenyataannya berkaitan Azeez.

Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak saman fitnahnya terhadap Lim.

Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018, mendakwa Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Februari 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong dasar laut.

Hakim Azimah berkata responden (Lim) tidak berusaha untuk mengesahkan maklumat itu dan beliau tidak pernah meminta sebarang maklum balas daripada perayu untuk pengesahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata Lim mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah itu ketika negara bakal mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Responden bertindak demi kepentingan politik beliau dan mempunyai agenda dan kepentingan peribadi,” tambah beliau.

Hakim Azimah juga berkata kenyataan responden itu telah melangkaui dengan meminta pihak berkuasa menyiasat isu dakwaan salah laku projek terowong dasar laut selain mendakwa perayu terlibat dalam perkara itu.

“Tiada bukti responden menghubungi perayu, tidak ada proses pengesahan. Responden terburu-buru menghebahkan kenyataan fitnah itu,” katanya sambil menambah Lim tidak mengeluarkan kenyataan tersebut dengan niat baik tetapi dibuat demi kepentingan politik. 

Menurut hakim, pemaju projek Consortium Zenith Construction Sdn Bhd telah menghantar notis tuntutan (NOD) kepada Abdul Azeez pada Februari 2018 untuk mendapatkan semula wang itu tetapi kemudian menarik balik NODnya dalam masa seminggu, berikutan maklum balas Azeez terhadap syarikat berkenaan.

Hakim Azimah berkata responden bukanlah “orang awam biasa” tetapi merupakan “ahli politik veteran terkenal dan berpengalaman” yang bukan orang asing dalam proses litigasi.

Justeru, kata hakim ia sepatutnya jelas kepada Lim bahawa NOD itu menunjukkan Azeez tidak bersalah dan tiada percubaan daripada Lim untuk mengesahkan kandungan LOD itu.

Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian melalui Zoom, Azeez diwakili peguam Porres Royan dan Craign Ho manakala Lim diwakili peguam N Mureli dan Felix Lim.