- Iklan -
Berita

Operasi pencarian di lokasi pesawat terhempas 95% selesai, kata KPN

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata anggota keselamatan sedang dalam pencarian terakhir di tempat kejadian.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Gambar: Bernama

Operasi pencarian saki-baki cebisan mayat dan pembersihan bangkai pesawat yang terhempas di lokasi kejadian di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di sini semalam, telah 95% selesai.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata ketika ini, anggota keselamatan sedang melakukan pembersihan terakhir dan mengesan kemungkinan baki cebisan mayat mangsa di tempat kejadian.

“Kita telah menjumpai 10 mayat dan dalam bahasa penyiasatan, yang dipanggil ‘human remains’ (atau cebisan mayat) kita sudah ambil 15 (iaitu) ada yang badan sedikit, tangan sedikit.

“Barang kepunyaan peribadi daripada human remains ini seperti jam, duit dan beg, lebih kurang dalam 21 yang ada (dijumpai),” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Razarudin berkata semua cebisan yang ditemukan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat dan sebanyak 22 waris telah diambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk dipadankan.

Dalam masa sama, Razarudin berkata pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan operasi pembersihan serpihan bangkai pesawat melibatkan kawasan 11,000 meter persegi di jalan itu pada tengah hari ini, bagi memudahkan penduduk di Elmina menggunakannya.

“Untuk membersihkan jalan berkenaan, kita mempunyai kekuatan daripada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Crime Scene Investigation (CSI) daripada PDRM serta lain-lain bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Gerakan Am," katanya. 

Ditanya berhubung kotak hitam pesawat itu, Razarudin mengesahkan bahawa satu rakaman suara kokpit telah dijumpai kira-kira 10 malam tadi dan ia akan dianalisis oleh BSKU. 

Sementara itu, beliau berkata hasil daripada siasatan mendapati pemandu kereta e-hailing yang terlibat dengan nahas terbabit telah membatalkan tempahan pelanggannya pada 2 petang iaitu sebelum kejadian.

“Pemandu kereta sudah ‘reject’ penumpang pada pukul 2 petang. (Jadi) kita syak dia seorang (di dalam kereta). Tapi bila buat ujian DNA baru kita tahu ada lebih (mangsa) atau tidak. Buat masa ini, kita anggap dia seorang sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai rakaman kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Sebanyak 10 mangsa disahkan maut dalam kejadian itu. Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Johari Harun.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang termasuk Johari dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan lalu di situ semasa kejadian.

Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

Sementara itu, di Klang, suasana sayu mengiringi kira-kira 30 ahli keluarga dan waris mangsa nahas itu yang mula tiba di pekarangan Jabatan Forensik, HTAR.

Ketibaan mereka kira-kira pukul 9.50 pagi disambut oleh para pegawai hospital yang bertugas sebelum dikumpulkan di khemah berhadapan jabatan itu bagi proses pengecaman dan tuntutan mayat mangsa. 

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati terdapat tiga khemah telah dipasang bertanda “Antemortem Data” dan DVI (Pengecaman Mangsa Bencana) bersebelahan bangunan Jabatan Forensik selain lingkungan kawasan turut ditutup dengan kain hitam dipercayai bagi menjaga privasi waris mangsa yang terlibat. Difahamkan, proses bedah siasat dan pengecaman mayat mangsa bermula 8 pagi tadi.